Categories
PBT SELANGOR

MPSepang wujud talian bantu golongan terjejas akibat pandemik

SHAH ALAM, 30 JULAI: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) mewujudkan talian bagi menyalurkan bantuan kepada penduduk daerah itu yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Yang Dipertua Dato’ Abd Hamid Hussain berkata Talian MPSepang Sejahtera akan menggunakan talian perkhidmatan dan aduan sedia ada dengan meluaskan skopnya bagi menangani permasalahan masyarakat.

“Saya amat yakin golongan tersebut amat memerlukan bantuan dan perhatian dari segi sumber kewangan atau pelbagai bentuk bantuan bagi menampung kelangsungan hidup sekali gus memastikan kesejahteraan dan kebajikan mereka terjaga.

“Dengan adanya talian ini ia akan membolehkan pemusatan maklumat bagi bantuan makanan, keperluan asas, kesihatan dan kewangan disalurkan kepada agensi berkaitan,” katanya melalui perutusan Mesyuarat Ahli Majlis MPSepang Bil 7/2021 hari ini.

Tambahnya, talian tersebut tidak akan mengurangkan fungsi saluran bantuan sedia ada dan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk zon sebagai medium untuk penduduk Sepang memohon bantuan.

Penduduk yang ingin mendapatkan bantuan boleh hubungi Hotline MPSepang di talian 03-83190200 atau 03-83190300 atau WhatsApp melalui 019-2826533.

Talian ini beroperasi pada hari bekerja sahaja dari jam 8 pagi hingga 5 petang dan menghantar sistem pesanan ringkas ke 15888 untuk mengetahui status permohonan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Persatuan kebajikan polis sedia kerjasama dengan MBI laksana program bantuan

HULU LANGAT, 20 JULAI: Persatuan Tabung Kebajikan, Sukan dan Sosial Cawangan Khas Polis Bukit Aman berhasrat bekerjasama dengan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dalam menjayakan lebih banyak program bantuan kepada rakyat terkesan Covid-19.

Timbalan Pengerusinya Superintendan Hisham Mohd Den berkata kemahuan itu mengambil kira faktor jaringan bersama ketua komuniti yang peka terhadap keperluan penduduk di sesebuah kawasan.

“Kita sedia bila-bila masa sekiranya MBI berbesar hati beri sumbangan. Hubungan baik dengan ketua komuniti, badan bukan kerajaan (NGO) sentiasa dijalin dan mereka biasanya memiliki senarai penduduk susah.

“Kita simpati terhadap nasib penduduk khususnya di pangsapuri kos rendah dan projek perumahan rakyat (PPR). Mereka ini golongan berpendapatan rendah (B40) yang memerlukan bantuan,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis serahan pek makanan asas kepada 50 keluarga di Pangsapuri Ghazal, Balakong di sini semalam bersama Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MBI Ahmad Azri Zainal Nor.

Hisham berkata seramai 200 keluarga sekitar Puchong, Rawang, Gombak dan Cheras mendapat bantuan makanan sejak inisiatif bersama MBI dilaksana minggu lalu.

“Rata-rata penduduk amat terkesan dan melihat riak wajah, mereka sangat menghargai sumbangan ini,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Bantuan khas Covid-19, 266 individu terima manfaat

SHAH ALAM, 2 SEPT: Kerajaan Negeri meluluskan bantuan khas RM1,000 kepada 266 bekas pesakit Covid-19 dan ahli keluarga mereka melibatkan jumlah bayaran RM266,000.00 setakat ini.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud bagaimanapun berkata jumlah tersebut masih sedikit berbanding peruntukan RM1.8 juta melalui pakej rangsangan yang diumum pada 1 April lalu.

“Bilangan pemohon masih sedikit dan saya berharap pihak berkaitan tampil memohon bantuan kerana bilangan individu yang mendapat manfaat insentif ini masih rendah, saya juga minta mereka manfaatkan bantuan ini,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Pada 17 Ogos lalu Kerajaan Selangor menyeru bekas pesakit dan ahli keluarga mangsa Covid-19 di negeri ini memohon bantuan khas RM1,000.

Sejumlah RM1.8 juta diperuntukkan kepada golongan tersebut mengikut beberapa syarat.

Antaranya warganegara yang bermaustautin di Selangor lebih lima tahun dan disahkan positif Covid-19 oleh hospital, klinik kesihatan kerajaan atau pusat perubatan berdaftar.

Bantuan khusus itu boleh didaftar melalui pautan www.selangorprihatin.com

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO seru bekas pesakit Covid-19 mohon insentif RM1,000

SHAH ALAM, 17 OGOS: Kerajaan Selangor menyeru lebih ramai bekas pesakit dan ahli keluarga mangsa Covid-19 di negeri ini memohon bantuan khas RM1,000.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata setakat ini hanya 238 individu mendapat manfaat insentif Pakej Rangsangan Selangor Prihatin fasa kedua itu, yang disifatkan masih rendah.

“Jumlah permohonan agak sedikit kerana Kerajaan Negeri menghadapi kekangan untuk mendapat data pesakit, justeru kita berharap doktor atau petugas Kementerian Kesihatan maklumkan kepada mereka,” katanya ketika dihubungi.

Bantuan khusus itu boleh didaftar melalui pautan www.selangorprihatin.com

Sejumlah RM1.8 juta diperuntukkan kepada mangsa Covid-19 melalui pakej rangsangan yang diumum pada 1 April lalu mengikut beberapa syarat.

Antaranya warganegara yang bermaustautin di Selangor lebih lima tahun dan disahkan positif Covid-19 oleh hospital, klinik kesihatan kerajaan atau pusat perubatan berdaftar.

Categories
ADN SELANGOR

Bantuan lampin, susu formula masih dibuka – Juwairiya

SHAH ALAM, 10 JUN: Penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati dialu-alukan untuk memohon bantuan lampin pakai buang dan susu formula, kata Ahli Dewan Negerinya.

Juwairiya Zulkifli berkata permohonan itu terbuka kepada pasangan muda yang mempunyai anak kecil terutama mereka yang terjejas susulan Covid-19 sehingga hilang punca pendapatan.

“Alhamdulillah kita sudah mengagihkan kepada lebih 150 penduduk dan atas sifat keprihatinan ia masih dibuka dengan anda cuma perlu hadir ke pusat khidmat DUN untuk memohon,” katanya kepada SelangorKini.

Juwairiya berkata insiatif ini dilaksanakan Kerajaan Negeri selepas melihat ramai dalam kalangan ibu bapa yang kurang berkemampuan untuk membeli keperluan bayi susulan pandemik.

“Terima kasih Kerajaan Negeri dan Pusat Wanita Berdaya (PWB) yang prihatin terhadap nasib golongan ini. Semoga bantuan diteruskan lagi dari semasa ke semasa,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

ADN: Bantuan makanan kepada asnaf, ibu tunggal dan OKU

SHAH ALAM, 24 MAC: Beberapa Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor mula melancarkan bantuan buat golongan asnaf, ibu tunggal dan orang kelainan upaya (OKU) yang menghadapi kesukaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

ADN Sungai Air Tawar, Rizam Ismail berkata inisiatif itu dilakukan ekoran kedai runcit dan kedai makan di kawasannya ditutup.

“Tambah memburukkan keadaan apabila jarak perjalanan rumah penduduk dengan pekan mencecah 20 kilometer, memang jauh.

“Jadi saya lancarkan inisiatif dengan menghantar barangan asas seperti beras, minyak masak, gula, telur ayam dan biskut kering untuk memudahkan urusan kehidupan seharian mereka,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Selain Rizam, ADN Kampung Tunku, Lim Yi Wei turut melancarkan Program Bantuan Harapan Dewan Undangan Negeri Kampung Tunku kepada penduduk di SS1, SS2, SS3, SS9A dan Seksyen 20, 21 dan 22.

“Barangan runcit ini akan dihantar kepada warga emas tinggal bersendirian dan OKU. Orang awam boleh menghubungi talian 0165236343 atau 0125918028 untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.

Sementara itu ADN Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran tidak mahu ada keluarga atau individu yang kelaparan kerana tidak berkemampuan sepanjang tempoh kawalan hingga 31 Mac ini.

“Saya mahu anda menghubungi talian 0329359135 sekiranya megenali keluarga dalam kawasan Dun Bukit Gasing yang menghadapi kesukaran,” katanya.