Categories
AGENSI SELANGOR

FAS anjur #RedGiantsCutOut, peluang penyokong ‘hadir’ stadium

SHAH ALAM, 4 OGOS: Penyokong Selangor berpeluang menzahirkan sokongan kepada skuad Red Giants secara ‘fizikal’ di stadium dalam perlawanan CIMB Liga Super 2020 pada 27 Ogos ini melalui program #RedGiantsCutOut.

Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) berkata program itu membolehkan gambar mereka dicetak pada papan layar penonton (cut out) dan diletakkan di tempat duduk penonton ketika perlawanan menentang PJ City FC.

FAS memaklumkan inisitif pertama seumpama itu dianjurkan di Malaysia dibuat selepas penyokong dilarang ke stadium sepanjang musim ini sebagai langkah mengekang penularan Covid-19.

“Jadi sebahagian daripada mesej #KitaAdalahSatu di stadium dan abadikan memori anda. Program ini akan berlangsung untuk satu perlawanan sahaja, jadi jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada sejarah FA Selangor,” katanya menerusi Facebook.

FAS berkata tempahan slot yang bermula semalam itu ditutup pada Ahad, 9 Ogos, 11.59 malam atau sehingga slot penuh sementara pakej yang ditawarkan adalah Emas pada harga RM99 dan Premium RM169.

Pendaftaran dan maklumat lanjut boleh dibaca di pautan faselangor.my/ms/cut-out/home.