Categories
AGENSI SELANGOR

FAS anjur #RedGiantsCutOut, peluang penyokong ‘hadir’ stadium

SHAH ALAM, 4 OGOS: Penyokong Selangor berpeluang menzahirkan sokongan kepada skuad Red Giants secara ‘fizikal’ di stadium dalam perlawanan CIMB Liga Super 2020 pada 27 Ogos ini melalui program #RedGiantsCutOut.

Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) berkata program itu membolehkan gambar mereka dicetak pada papan layar penonton (cut out) dan diletakkan di tempat duduk penonton ketika perlawanan menentang PJ City FC.

FAS memaklumkan inisitif pertama seumpama itu dianjurkan di Malaysia dibuat selepas penyokong dilarang ke stadium sepanjang musim ini sebagai langkah mengekang penularan Covid-19.

“Jadi sebahagian daripada mesej #KitaAdalahSatu di stadium dan abadikan memori anda. Program ini akan berlangsung untuk satu perlawanan sahaja, jadi jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada sejarah FA Selangor,” katanya menerusi Facebook.

FAS berkata tempahan slot yang bermula semalam itu ditutup pada Ahad, 9 Ogos, 11.59 malam atau sehingga slot penuh sementara pakej yang ditawarkan adalah Emas pada harga RM99 dan Premium RM169.

Pendaftaran dan maklumat lanjut boleh dibaca di pautan faselangor.my/ms/cut-out/home.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

FAS sasar lahir 250 pengadil menjelang akhir 2020

SHAH ALAM, 29 DIS: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) meletakkan sasaran untuk melahirkan 250 pengadil bagi mengadili perlawanan bola sepak di Selangor, menjelang akhir tahun depan.

Naib Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAS, Abdul Basith Abdul Hamid berkata beberapa program akan dilaksanakan bagi menarik minat ramai, terutamanya golongan belia, menyertai bidang pengadilan.

“Kami telah menyusun beberapa program untuk menarik minat golongan belia dan menjadikan bidang pengadilan ini sebagai kerjaya kedua mereka.

“Kerjaya ini juga akan mampu menghasilkan atau menjana pendapatan yang agak lumayan dan melonjakkan taraf ekonomi mereka,” katanya kepada pemberita pada majlis Perasmian Seminar Pengadil Persatuan Bola Sepak Liga FAS 2020.

Abdul Basith berkata FAS juga komited dalam usaha melahirkan lebih ramai kaum wanita menyertai bidang pengadilan di Selangor, dan menurutnya bidang pengadilan yang berkembang maju ketika ini akan membuka lebih banyak peluang buat kaum wanita menceburinya.

Seminar tahunan hari ini bertujuan mengulangkaji undang-undang permainan supaya pengadil dapat membuat keputusan yang tepat, dan ia menyaksikan penyertaan 174 pengadil yang akan mengharungi Liga FAS musim 2020.

Majlis dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa FAS, Chandra Sekar, dan ia turut dihadiri Ketua Jurulatih Selangor, B. Sathianathan.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Lepasan AMD di FAS boleh sambung pengajian di UiTM, UNISEL

SHAH ALAM, 28 DIS: Pemain lepasan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang menyertai Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) bukan sahaja berpeluang mengembangkan karier sebagai pemain bola sepak profesional semata-mata.

Sebaliknya, Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, pelatih terbabit juga boleh melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi di Selangor berikutan Memorandum Persefahaman (MoU) yang wujud antara FAS dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) sejak tahun lalu.

“FAS telah tandatangani MoU dengan UiTM termasuk perkembangan akademi juga kita ada bincangkan.

“Kita masih ada masa lagi kerana pengambilan pelajar seterusnya biasanya berlangsung pada bulan September,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Johan berkata, selain UiTM, FAS juga akan menjalin kerjasama dengan Universiti Selangor (UNISEL) untuk melanjutkan pelajaran pemain muda berkelayakkan.

Johan yakin kerjasama antara FAS dan UNISEL mampu direalisasikan berikutan status UNISEL sebagai institusi pengajian tinggi swasta milik Kerajaan Negeri.

“Insya Allah tiada masalah kerjasama dengan UNISEL, lebih-lebih lagi Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari sentiasa memberi sokongan padu terhadap usaha FAS termasuk meningkatkan pencapaian pemain dalam padang dan juga akademi,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

FAS bina pusat latihan tertutup bernilai RM2.2 juta pada 2020

SHAH ALAM, 28 DIS: Sebuah pusat latihan tertutup bernilai RM2.2 juta antara empat fasiliti bakal dibina pengurusan pasukan Gergasi Merah pada 2020 bagi membantu pemain mencapai prestasi maksima masing-masing.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon berkata, turut dalam perancangan perojek membabitkan peruntukkan keseluruhan RM2.6 juta itu termasuk pusat gimnasium kedua (RM200,000), pusat perubatan dan pejabat teknikal (RM200,000).

“Membentuk pasukan Selangor II adalah projek yang sudah kita jalankan tahun ini tetapi masih banyak lagi projek lain termasuk pembangunan fasiliti di pusat latihan untuk pembangunan pemain kami.

“Ketika ini FAS dalam proses mencari dana untuk projek ini dan setakat ini kita dah ada 80 peratus, nak cari 20 peratus sahaja lagi. Insya Allah saya yakin boleh dapat,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Johan berkata, fasiliti terbabit mampu memberi impak besar dalam melancarkan pengurusan teknilai dan membantu pemain mencapai prestasi terbaik.

Johan berkata selain empat projek itu, Selangor juga akan menumpukan misi utama untuk layak di peringkat Asia pada 2021 nanti.

“Persiapan rapi giat dijalankan pada masa ini dan kita juga anjurkan perlawanan pra musim, Selangor Asia Challenge untuk membentuk persefahaman baik antara pemain,” katanya.

Categories
SELANGOR

FAS mampu mara bawah tampuk kepimpinan RMS

OLEH SHEEDA FATHIL

GOMBAK, 16 JUL: Persatuan Bola Sepak Negeri Selangor (FAS) pasti mampu memberi nafas baharu kepada pasukan Selangor untuk mara ke peringkat yang lebih jauh di bawah tampuk kepimpinan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Lagenda Bola Sepak Tanah Air, Khalid Ali berkata, beliau sememangnya mengalu-alukan Tengku Amir Shah mengambil alih tampuk kepimpinan FAS.

“Saya optimis Tengku Amir Shah mampu mengubah dan mengangkat semula FAS.

“Pada masa sama, saya berharap semua pihak dapat bekerjasama memberi sokongan padu untuk bersama membangunkan bola sepak Selangor ke peringkat tertinggi berbanding negeri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan perlawanan akhir tayangan skrin gergasi Piala Dunia edisi 2018 antara Perancis dan Croatia di Restoran Azhaar Maju, di sini, semalam.

Khalid yang juga selaku bekas pemain Emiriah Arab Bersatu pada musim Piala Asia 2004 AFC berkata, beliau sememangnya mempunyai pelbagai program kepada pasukan Selangor untuk menggilapkan lagi bakat pemain.

“Saya sedang dalam peringkat perancangan dan ia akan diusulkan kepada pihak atasan Selangor, berkemungkinan program itu akan mula dilaksanakan pada tahun depan,” katanya.

Sementara itu, Legenda Bola Sepak Tanah Air, Reman Ragunathan berkata, beliau teruja dan berterima kasih kepada penganjur Pusat Khidmat Rakyat Gombak Setia yang sudi menjemputnya hadir menyaksikan perlawanan akhir Piala Dunia edisi 2018.

“Program sebegini amat bagus dilaksanakan kerana ia dapat mengeratkan silaturahim antara masyarakat berbilang bangsa,” katanya.

Terdahulu, Perancis mempamerkan aksi bergaya apabila berjaya menumbangkan Croatia dengan jaringan 4-2 untuk seterusnya dinobatkan sebagai juara Piala Dunia edisi 2018.

Categories
SUKANKINI

Stadium Shah Alam: Penyokong mahu Kerajaan Negeri dan FAS berbincang

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 31 JAN: Badan Bertindak Penyokong Selangor mahu Kerajaan Negeri dan Persatuan Bola Sepak Negeri Selangor (FAS) berbincang bagi menyelesaikan kemelut penggunaan Stadium Shah Alam supaya boleh digunakan Selangor sebagai gelanggang tuan rumah.

Jurucakapnya, Mohd Firdaus Abdul Mutalib berkata, pihaknya bersedia dijemput menjadi orang tengah untuk kedua-dua pihak berbincang supaya tiada rahsia antara Kerajaan Negeri dan FAS sekiranya enggan mengatur mesyuarat dalam masa terdekat.

“Pengurusan FAS serta Kerajaan Negeri berbincang secara rasmi dan menyelesaikan isu berkaitan pengurusan pasukan bola sepak Selangor terutamanya berkaitan penggunaan Stadium Shah Alam demi kepentingan semua penyokong.

“Kami bukan mahu mencari musuh atau salah sesiapa sebaliknya ia lebih kepada tindakan akhir yang diambil atas dasar sayang dan cintakan pasukan bola sepak Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di hadapan pintu gerbang Stadium Shah Alam hari ini.

Katanya, mereka akan menyerahkan satu memorandum kepada Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali esok jam 10 pagi di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

“Kami akan menyerahkan satu memorandum supaya Kerajaan Negeri membenarkan Stadium Shah Alam dijadikan gelanggang rasmi pasukan Selangor selewat-lewatnya dalam saingan pusingan kedua Liga Super 2018.

“Kami menuntut FAS dan Kerajaan Negeri memberi jawapan balas terhadap segala tuntutan dan desakan kami dalam tempoh 48 jam selepas memorandum diserahkan,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB, Amirudin tinggalkan FAS

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 30 DIS: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali bersama Exco Pembangunan Generasi Muda & Sukan, Amirudin Shari mengumumkan peletakkan jawatan selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Selangor (FAS) dan Pengurus Pasukan berkuat kuasa serta merta.

Dalam satu kenyataan media bersama lewat petang ini, mereka mengumumkan pengunduran susulan keengganan barisan Exco FAS komited dengan agenda perubahan demi menjamin kegemilangan bola sepak Selangor.

“Saya dan Amirudin Shari mengambil keputusan untuk tidak lagi bersama dengan sebuah organisasi dan pengurusan yang tidak berwibawa dan tidak komited dengan agenda perubahan demi menjamin kegemilangan bolasepak Negeri Selangor,” katanya.

the-red-giants-2Menurut Mohamed Azmin, beliau menyambut baik perlantikannya sebagai Presiden FAS menerusi Kongres Luar Biasa pada Disember 2014 dengan harapan untuk melakukan perubahan dalam pengurusan FAS dan juga pembangunan sukan bolasepak Negeri Selangor.

“Setelah hampir dua tahun kami bersama FAS, kami tidak melihat kesediaan Exco FAS untuk mendukung perubahan.

“Barisan Exco FAS sedia ada masih kekal dengan sikap dan budaya lama – “excessive politics, old-fashioned way of doing things, over dependency on subsidy mentality,”katanya.

“Malah, sehingga kini, barisan Exco FAS gagal mengemukakan pelan strategik untuk pengurusan bolasepak Negeri Selangor termasuk organisasi pentadbiran yang profesional sebagaimana yang disarankan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjelang 2018.

“Exco FAS terus bergelumang dengan budaya politik yang tidak bertanggungjawab serta mengecewakan penyokong dan rakyat Negeri Selangor,” katanya.

THE RED GIANTSWalaupun meletakkan jawatan, Mohamed Azmin memberikan jaminan Kerajaan Negeri akan memberikan sokongan dan dukungan kepada kemajuan sukan bolasepak Negeri Selangor melalui kaedah baru yang akan diputuskan kelak.

“Kami memberi jaminan kepada penyokong bolasepak Selangor bahawa kegemilangan sukan bolasepak akan dijulang melalui pengurusan yang bersih dan berintegriti,” katanya.

-nR-