Categories
ADN SELANGOR

Jeti terapung Kampung Asahan jadi pusat ekonomi, riadah penduduk

KUALA SELANGOR, 30 OGOS: Jeti terapung bernilai RM100,000 di Batu 8 Kampung Asahan di sini, bakal dijadikan pusat ekonomi dan riadah penduduk setempat.

Wakil rakyat Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli berkata kawasan itu turut dilengkapi pondok ‘home of river’ sebagai tempat perbincangan dan aktiviti lebih 1,000 penduduk.

“Penduduk di sini kebanyakan bekerja sebagai nelayan, jadi jeti ini sangat membantu mereka untuk mendaratkan ikan termasuk benih ikan dan udang.

“Kaki pancing juga boleh menyewa kemudahan sampan dan menyertai acara memancing yang dianjurkan setiap tahun,” katanya ditemui pada Majlis Perasmian Pangkalan Jeti Terapung di sini hari ini.

Juwairiya memaklumkan pihaknya juga sedang mencari tapak sesuai bagi membina balai raya dan gelanggang futsal untuk kemudahan penduduk setempat.

“Ini janji saya kepada penduduk terutama belia Kampung Asahan. Saya sudah nyatakan hasrat ini kepada Kerajaan Negeri dan perbincangan lanjut sedang dijalankan,” katanya.