Categories
AGENDA NASIONAL

KKM masih siasat dakwaan pelajar di Lembah Pantai positif Covid-19

SHAH ALAM, 12 OGOS: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih menyiasat dakwaan yang tular di media sosial seorang pelajar sebuah sekolah menengah di Lembah Pantai, Kuala Lumpur dijangkiti Covid-19.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ujian saringan dilakukan terhadap pelajar tingkatan lima dan sedang menunggu keputusan makmal.

“Siasatan mendapati pelajar tersebut mengalami gejala muntah dan cirit- birit pada 9 Ogos dan dibawa ke klinik swasta pada keesokannya, kemudian dipindahkan ke sebuah pusat perubatan untuk menjalani saringan demam denggi dan Covid-19.

“Keputusan saringan demam denggi didapati positif tetapi ujian Covid-19 perlu dijalankan dengan lebih terperinci serta mengambil kira pelbagai kemungkinan termasuk tindak balas ketika rawatan kerana pelajar ini turut dijangkiti denggi,” kata ketua pengarah kesihatan menerusi kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata KKM mengenal pasti kontak rapat melibatkan 34 pelajar dan lapan guru sekolah tersebut.

“KKM mengambil langkah sewajarnya dalam isu ini. Semua individu mempunyai kontak rapat diarahkan menjalani perintah kuarantin di rumah sebagai langkah pencegahan,” katanya.