Categories
AGENDA NASIONAL

Kluster PUI Sivagangga: 11 kes positif di Perlis satu keluarga

SHAH ALAM, 7 OGOS: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan 11 kes termasuk 10 kes baharu Covid-19 di Perlis hari ini adalah kluster PUI Sivagangga dan merupakan satu keluarga.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata jangkitan bermula dari kes pertama dikesan di negeri itu 4 Ogos lalu.

“Kes ke-9054 adalah pelanggan tetap restoran milik kes induk kluster berkenaan. Kes generasi kedua itu menjangkiti 10 ahli keluarga lain yang merupakan generasi ketiga.

“Kesemua kes baharu ini tidak bergejala dan telah dimasukkan di Hospital Tuanku Fauziah untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau setakat jam 12 tengah hari tadi seramai 3,246 individu membabitkan kluster itu disaring.

“43 kes disahkan positif manakala 2,320 negatif. Sebanyak 883 kes masih menunggu keputusan. Susulan pertambahan kluster ini di Perlis dan Pulau Pinang, KKM mengenal pasti 1,884 kontak rapat yang bakal disampel,” katanya.

Terdahulu, Dr Noor Hisham memaklumkan 25 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini dengan 16 merupakan penularan tempatan menjadikan keseluruhan sebanyak 9,063 kes.