Categories
AGENDA NASIONAL

Lima individu langgar arahan kuarantin kena tindakan polis

SHAH ALAM, 5 OGOS: Seramai lima individu dikenakan tindakan oleh polis semalam kerana gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) kuarantin di rumah.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tangkapan susulan 1,969 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalani kuarantin 14 hari di kediaman masing-masing.

“Sejak 24 Julai hingga semalam, seramai 5,355 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

“Kesemua mereka ditempatkan di 21 hotel dan lima institut latihan awam di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Sarawak, Selangor, Perak dan Johor. Daripada jumlah itu, 13 individu dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata kesemua individu terbabit dalam kalangan rakyat tempatan yang pulang dari 28 negara antaranya Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja dan Singapura.