Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Lima tumbuhan halau nyamuk

Nyamuk membawa ancaman serius kerana ia agen penyakit berbahaya termasuk demam denggi, chikungunya, malaria dan untut.

Antara Januari hingga 1 Ogos lalu, sebanyak 32 kematian akibat demam denggi dicatatkan di negeri ini. Sejumlah 34,090 kes pula dilaporkan sehingga minggu epidemik 31.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan beberapa langkah alternatif bagi mencegah pembiakannya termasuk menanam pokok hiasan penghalau serangga itu.

Selain lima tumbuhan ini, tanaman lain yang boleh menghalau nyamuk termasuklah serai wangi (Cymbopogon nardus), akar wangi (Vetiveria zizanioides), tongkat ali (Eurycoma longifolia) dan mambu (Azadirachta indica).

Lidah buaya

Nama sainsnya Aloe barbadensis. Ada ratusan spesies dengan bentuk daun seperti pedang dan tirus. Asal dari Afrika, ia juga berkhasiat sebagai antibiotik. KKM sebelum ini menyarankan tumbuhan ini sebagai penghalau nyamuk. Beberapa kajian mendapati tumbuhan itu juga boleh menghalau serangga lain.

Bunga tahi ayam

Nama lainnya Lantana camara. Ia begitu cantik dan menyerlah tetapi ia tidak digemari haiwan (dan serangga) kerana baunya agak busuk.

Di Amerika Utara, bunga tahi ayam ditanam berdekatan sayur-sayuran dan buah-buahan bagi menghalang arnab dan rusa memakan tanaman. Di Asia, bunga ini digunakan untuk menghalau pelbagai jenis serangga.

Jika terganggu dengan baunya, pokok itu boleh diletak di dalam rumah. Boleh juga letakkannya di luar kediaman atau berhampiran tempat berpotensi ada pembiakan nyamuk.

CATnip

Nama lainnya, Nepeta cataria. Ia tanaman yang disukai kucing. Ia juga digunakan untuk merangsang kucing lebih aktif kerana haiwan ini menjadi khayal seakan-akan mabuk apabila terhidu atau memakannya.

Namun, ia tidak disukai serangga seperti nyamuk dan lalat kerana catnip menghasilkan minyak pati nepetalactone yang dikatakan lebih berkesan daripada racun serangga. Boleh ditanam di halaman rumah dan ia mampu tumbuh sehingga 3 atau 4 kaki.

Geranium

Lebih dikenali sebagai pokok jeramin. Pelargonium citrosum berbau harum jika digoncang atau ditiup angin kerana mengandungi geraniol dan sitronelol tinggi yang tidak disukai nyamuk.

Boleh ditanam dalam pasu kecil dan letak di dapur, bilik tidur atau ruang tamu. Jeramin turut sesuai dijadikan hiasan kerana bunganya cantik.

Selasih

Daun, bunga dan biji pokok selasih boleh dijadikan rempah masakan serta penyegar kerana bau dan perisa bergantung kepada jenisnya. Ada juga jenis selasih, atau nama sainsnya Ocimum basilicum, yang boleh menyebabkan mabuk.

Ia antara tanaman yang berfungsi sebagai penghalau nyamuk semula jadi paling berkesan kerana ketoksidan tinggi terhadap serangga itu. Mengikut kajian, tumbuhan ini mampu memberi perlindungan maksimum daripada nyamuk pembawa malaria.

Selain di halaman, boleh letakkannya di dapur atau laluan keluar masuk nyamuk seperti tingkap.