Categories
PBT SELANGOR

MPK lelong barang sitaan penjaja, lupus alat pusat hiburan

SHAH ALAM, 27 OGOS: Majlis Perbandaran Klang (MPK) melelong 404 barang rampasan hasil daripada tindakan penguatkuasaan pada November 2019 hingga Februari lalu.

Yang dipertuanya berkata semua barang tersebut berjaya dilelong dalam masa satu jam dengan kutipan RM10,325.

“Barang yang dilelong merupakan barang sitaan penjaja yang keseluruhannya bernilai RM2,470,” kata Dr Ahmad Fadzil Ahmad Tajuddin selepas majlis Lelongan Awam Barang-Barang Sitaan Penjaja dan Tred Perniagaan.

Pada majlis sama berlangsung pelupusan barang-barang sitaan pusat hiburan, permainan video, snuker dan pusat siber yang bernilai RM1.3 juta.

Dr Ahmad Fadzli berkata kesemua 359 barang sitaan yang dilupuskan itu hasil daripada tindakan penguatkuasaan bagi tempoh 2017 hingga 2018.

Sitaan terhadap barang-barang itu dibuat kerana melanggar undang-undang mengikut Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Selangor 1995 (Pindaan 1998 dan 2001) dan Peraturan-peraturan (Permainan Snuker dan Video)(Kawalan dan Penyeliaan)(Selangor) 1998.

“Tindakan pelupusan yang dijalankan ini mengikut kaedah pelupusan berdasarkan justifikasi dan klasifikasi barang sitaan mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya.