Categories
PBT SELANGOR

MPS sita lebih 600 botol arak dijual tanpa lesen

SHAH ALAM, 21 OGOS: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyita 610 botol arak dari tiga premis yang menjual minuman keras itu tanpa lesen pada 19 Ogos lalu.

Pengarah Jabatan Korporatnya, Mohamad Zin Masoad berkata serbuan dilakukan bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di Gombak, Selayang, Rawang, Kundang dan Bandar Tasik Puteri.

“Pemeriksaan mendapati premis berkenaan tiada lesen eksais (cukai yang dikenakan ke atas barang-barang tertentu yang diimport ke Malaysia) daripada Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Gombak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut mengeluarkan tiga kompaun kepada pemilik premis yang tidak mempunyai lesen perniagaan mengikut Seksyen 3(1) Establisymen Makanan 2007, manakala 10 kompaun atas pelbagai kesalahan lain.

Polis menyita rokok seludup pelbagai jenama dari salah sebuah premis yang beroperasi tanpa lesen dalam Majlis Perbandaran Selayang dalam serbuan pada 19 Ogos 2020. Foto: MPS

Mohamad Zin menambah polis menyita 1,955 kotak rokok seludup pelbagai jenama selain menahan 23 warga asing yang tidak mempunyai permit kerja sah dalam serbuan bermula jam 3 hingga 7 petang.

“MPS bersama polis akan terus melakukan pemantauan berterusan dan tindakan tegas bagi memastikan setiap premis perniagaan mematuhi peraturan serta undang-undang,” katanya.