Categories
SELANGOR

Nelayan gembira boleh carum Perkeso, waris dapat faedah

SHAH ALAM, 10 OGOS: Pengumuman kerajaan membenarkan nelayan membuat caruman skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mendapat reaksi positif golongan itu.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kuala Langat Mohd Jaman Harif berkata manfaat itu dinantikan pekerja sektor perikanan sejak lebih 20 tahun lalu.

“Alhamdulillah terima kasih Perkeso kerana peduli dengan nasib golongan nelayan yang belum pernah diberi faedah mencarum Perkeso sebelum ini.

“Perkara itu sekali gus beri perlindungan kepada nasib nelayan pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Sehubungan itu, Mohd Jaman, 53, berkata beliau akan membantu lebih 700 ahli persatuan untuk mendaftar sebagai pencarum dalam masa terdekat ini.

“Kita akan maklumkan faedah apabila ahli persatuan mencarum Perkeso termasuk membantu daftarkan mereka,” katanya.

Semalam, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mengumumkan seramai 42,000 nelayan buat julung kalinya dibenarkan mencarum Perkeso mulai 15 Ogos ini.

Caruman di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) itu bagi menggantikan caruman insurans nelayan kelompok Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Melalui skim tersebut tanggungan atau waris nelayan bakal mendapat Faedah Orang Tanggungan jika pencarum meninggal dunia akibat bencana kerja termasuk pinjaman pendidikan kepada anak mereka serta beberapa perlindungan keselamatan sosial.