Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

ADN kerjasama dengan Perkeso, bantu nelayan buat caruman

SHAH ALAM, 10 OGOS: Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati bakal bekerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menganjurkan kempen membantu nelayan mendaftar sebagai pencarum skim tersebut.

Juwairiya Zulkifli berkata beliau memuji inisiatif yang memberi manfaat dan perlindungan keselamatan kepada golongan nelayan serta ahli keluarga mereka.

“Saya bercadang akan bekerjasama dengan Perkeso untuk anjur kempen daftar golongan nelayan ini sebagai pencarum sekali gus menguar-uarkan manfaat yang mereka bakal peroleh,” katanya kepada SelangorKini.

Semalam, Perkeso mengumumkan kira-kira 40,000 nelayan di seluruh negara akan dicarumkan bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) secara berperingkat mulai 15 Ogos ini.

Usaha itu dilaksanakan melalui kerjasama erat pihak Perkeso dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan bagi menggantikan caruman insurans nelayan berkelompok LKIM yang dibuat melalui potongan Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN).

Difahamkan, sebagai permulaan, LKIM akan membuat caruman SKSPS membabitkan 3,879 nelayan di seluruh Malaysia dengan bayaran setahun berjumlah RM157.20 iaitu mengikut pilihan Pelan 1 SKSPS.`