Categories
SELANGOR

Polis Selangor buat 1,531 operasi judi, tangkap 3,523 orang

SHAH ALAM, 11 OGOS: Sebanyak 1,531 operasi bagi membanteras kegiatan judi dilakukan Polis Selangor dengan tangkapan seramai 3,523 orang sejak awal tahun ini hingga semalam.

Ketuanya Datuk Noor Azam Jamaludin berkata hasil serbuan itu wang tunai RM537,016 berjaya dirampas serta pelbagai peralatan perjudian seperti komputer, komputer riba, telefon bimbit dan beberapa barangan lain.

“Serbuan membabitkan 916 kes judi ekor haram, judi dalam talian (500), judi dalam bangunan (51), judi pusat panggilan (34), catat taruh (21) dan judi luar bangunan (sembilan).

” Polis Selangor tekad melaksanakan operasi ini berterusan walaupun ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan,” katanya memetik Sinar Harian.

Mengulas mengenai modus operandi kegiatan tersebut, Noor Azam berkata ia beroperasi secara curi-curi dengan diawasi kamera litar tertutup.

“Bagaimanapun, setiap aduan yang kita terima akan tetap diambil tindakan dan tangkapan,” kata beliau.