Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tahan 135 individu ingkar PKPP – Ismail Sabri

SHAH ALAM, 23 OGOS: Polis menahan 135 individu yang ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata dari jumlah itu 123 individu dikompaun manakala 12 lagi direman.

“Seramai 30 individu dikesan gagal menyediakan peralatan atau catatan keluar masuk, lima tidak memakai pelitup muka dan 55 indvidu terbabit aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal.

“ 37 individu lain turut ditahan berkaitan aktiviti pub atau kelab malam, tujuh membabitkan pemilik premis yang beroperasi lebih masa manakala seorang ditahan kerana gagal mematuhi arahan kuarantin di rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata polis juga memeriksa 459 individu yang sedang menjalani kuarantin wajib di rumah.

“Polis bersama petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan sentiasa membuat pemeriksaan dan pemantauan terhadap individu terbabiy bagi memastikan tatacara operasi piawai (SOP) dipatuhi,” katanya.