Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Prihatin masalah, MB arah MBSA bantu peniaga kecil

SHAH ALAM, 14 OGOS: Dato’ Menteri Besar menggesa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membantu peniaga kecil yang memenuhi syarat di kawasan itu mendapat lesen.

Dato’ Seri Amirudin Shari turut mengarah pihak berkuasa tempatan tersebut membanteras peniaga warga asing selaras pindaan Undang-Undang Kecil Penjaja 2007.

“Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dengan masalah peniaga kecil terutama menghadapi kesan wabak Covid-19 dan konsisten membanteras perniagaan warga asing serta premis haram,” tulisnya di Facebook hari ini.

Beliau sebelum itu mengadakan pertemuan bersama EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman, Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Haris Kasim dan Timbalannya Mohd Rashidi Ruslan di pejabatnya di sini.

MBSA merancang program penyusunan semula peniaga di kawasan Bandar Baru Sungai Buloh pada 15 dan 16 Ogos ini selain membuka kaunter permohonan permit sementara bagi urusan lesen.

Amirudin turut menyatakan komitmen MBSA bekerjasama dengan pihak berkuasa berhubung siasatan yang sedang berjalan.

“Kerajaan Negeri sentiasa mengamalkan konsep ketelusan dalam melaksanakan tugasan dan khidmat kepada rakyat,” katanya lagi.