Categories
AGENDA NASIONAL

Reman lelaki jerut isteri disambung enam hari

SEPANG, 6 OGOS: Tempoh reman terhadap lelaki yang menjerut leher isterinya dengan tudung sehingga mati, disambung enam hari lagi sehingga 12 Ogos ini bagi membantu siasatan polis.

Perintah reman terhadap suspek berusia 41 tahun dikeluarkan Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman di Mahkamah Majistret Sepang, di sini hari ini.

Lelaki itu yang merupakan sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan sebelum ini ditahan reman selama tujuh hari, sejak 31 Julai lepas.

Menurut laporan, pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Profesor Madya Dr Maizatulnisa Othman, 40, ditemukan di dalam kereta berhampiran tasik PKNS Pinggiran Cyberjaya, Sepang pada 30 Julai, selepas dipercayai dibunuh suaminya di Taman Mas, Putra Perdana, Puchong pada 29 Julai.

Sebelum itu suspek dikatakan berpura-pura mencari isterinya bersama anak perempuan mereka berusia 14 tahun, menggunakan perkhidmatan e-hailing.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan membunuh.

-BERNAMA