Categories
AGENDA NASIONAL

11 kes baharu Covid-19, empat penularan tempatan

SHAH ALAM, 4 SEPT: Sebanyak 11 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini dengan empat jangkitan tempatan, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dua jangkitan dalam negera melibatkan kluster baharu dikesan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih 2.

“Satu kes di Kedah dari jangkitan kluster Telaga manakala satu lagi merupakan warga asing di Pusat Tahanan Sementara Beranang.

“Tujuh kes import turut dilaporkan hari ini dengan lima kes dari India dan satu kes masing-masing dari Arab Saudi dan United Kingdom,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata jumlah keseluruhan sebanyak 9,385 kes dengan 165 kes aktif manakala empat pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), tiga memerlukan bantuan pernafasan.

“Sembilan kes dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah sembuh sebanyak 9,092 kes iaitu 96.9 peratus. Jumlah kumulatif kematian kekal 128 kes iaitu 1.36 peratus dari keseluruhan.”