Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Bantuan khas Covid-19, 266 individu terima manfaat

SHAH ALAM, 2 SEPT: Kerajaan Negeri meluluskan bantuan khas RM1,000 kepada 266 bekas pesakit Covid-19 dan ahli keluarga mereka melibatkan jumlah bayaran RM266,000.00 setakat ini.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud bagaimanapun berkata jumlah tersebut masih sedikit berbanding peruntukan RM1.8 juta melalui pakej rangsangan yang diumum pada 1 April lalu.

“Bilangan pemohon masih sedikit dan saya berharap pihak berkaitan tampil memohon bantuan kerana bilangan individu yang mendapat manfaat insentif ini masih rendah, saya juga minta mereka manfaatkan bantuan ini,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Pada 17 Ogos lalu Kerajaan Selangor menyeru bekas pesakit dan ahli keluarga mangsa Covid-19 di negeri ini memohon bantuan khas RM1,000.

Sejumlah RM1.8 juta diperuntukkan kepada golongan tersebut mengikut beberapa syarat.

Antaranya warganegara yang bermaustautin di Selangor lebih lima tahun dan disahkan positif Covid-19 oleh hospital, klinik kesihatan kerajaan atau pusat perubatan berdaftar.

Bantuan khusus itu boleh didaftar melalui pautan www.selangorprihatin.com