Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Usaha keras bantu pengguna, kurangkan air tercemar

SHAH ALAM, 4 SEPT: Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) bertungkus-lumus membantu mengurangkan beban pengguna susulan gangguan bekalan akibat pencemaran sungai oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Sebanyak 78 lori tangki, 22 lori tangki besar, 54 tangki statik, 18 pusat khidmat setempat, lapan pili air awam disediakan untuk menyediakan air di kawasan terjejas.

“Sebanyak 23,000 botol air minuman saiz lima liter telah diagihkan bagi membantu mereka yang terjejas. Air Selangor akan memantau keadaan semasa,” kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari hari ini.

Dalam kenyataannya, beliau juga memaklumkan usaha sedang dibuat untuk mengurangkan kesan bau pencemaran dengan meletakkan 250kg serbuk arang (activated carbon).

Air dari kolam takungan Bestari Jaya sebanyak 400 juta liter sehari (JLH) dipam, sementara air Empangan Sungai Tinggi dilepas bagi tujuan membuang dan mencairkan kesan pencemaran tersebut.

Sebanyak 23,000 botol air minuman saiz lima liter diagihkan bagi membantu mereka yang terjejas

Semalam, dalam lawatan mengejut, EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian mejelaskan pencemaran berpunca daripada sebuah kilang selenggara mesin dan jentera di Rawang, Gombak.

“Kita arahkan kilang ini ditutup sementara menunggu keputusan siasatan. Pemantauan rapi dari semasa ke semasa dilakukan Luas bersama agensi berkaitan bagi memastikan pencemaran bau dikawal secepat mungkin,” katanya.

Pagi ini, Air Selangor memaklumkan pencemaran masih ada tetapi berjaya dikurangkan daripada tiga kepada satu TON (Nombor Bau Nilai Ambang), unit kiraan untuk mengukur kadar bau.

Loji Rawatan Air (LRA) hanya boleh mengeluarkan air tanpa bau nilai TON sifar.

“LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang masih belum beroperasi sehingga jam 6.30 pagi ini kerana pencemaran masih lagi dikesan di muka sauk loji,” kata jurucakapnya dalam kenyataan jam 7 pagi tadi.

Mulai pagi semalam, wilayah bekalan air di Kuala Lumpur dan Selangor mengalami gangguan tidak berjadual selepas empat LRA di negeri ini terpaksa dihenti tugas.

Gangguan itu melibatkan Kuala Lumpur, Petaling, Klang-Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

LRA Rantau Panjang dihenti tugas jam 7.15 pagi, manakala LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2) dan Fasa 3 (SSP3) pada 9 pagi.