Categories
AGENDA SUKANKINI

Pengarah teknikal FAS dilantik pengendali sementara Red Giants

SHAH ALAM, 21 SEPT: Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Michael Feichtenbeiner dilantik sebagai pengendali sementara Red Giants susulan penamatan kontrak B Sathianathan.

Pengumuman itu dibuat menerusi kenyataan yang dikeluarkan FAS hari ini.

“Setelah membuat penilaian dan mengambil kira kesemua aspek prestasi semasa, pihak pengurusan FA Selangor telah memutuskan untuk menamatkan kontrak B Sathianathan sebagai ketua jurulatih pasukan utama serta merta.

“Berikutan itu, tugas ketua jurulatih akan dipangku oleh Pengarah Teknikal kelab, Michael Feichtenbeiner sehingga ketua jurulatih baharu diumumkan.

“FA Selangor ingin mengambil peluang ini untuk merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada B Sathianathan atas khidmat beliau membawa pasukan Selangor ke tempat ketiga dalam saingan Liga Super 2019 serta mara ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia musim lalu,” katanya.

Pada Sabtu lalu skuad Selangor mengalami kekalahan besar 1-6 ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dan kini menduduki tempat ketujuh dengan 10 mata selepas lapan perlawanan.