Categories
AGENDA NASIONAL

Sektor binaan rugi RM11.06 bilion sebulan sejak PKP

BUTTERWORTH, 18 SEPT: Industri pembinaan di Malaysia mencatat kerugian sebanyak RM11.6 bilion pada setiap bulan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara dikuat kuasa pada 18 Mac.

Presiden Master Builders Association Malaysia (MBAM) Foo Chek Lee berkata 29 peratus kerugian direkodkan itu adalah disebabkan pengangguran dalam kalangan pekerja industri kerana projek pembinaan terpaksa dihentikan.

“Apabila projek pembinaan dihentikan seketika, pembekal mesin tidak dapat menyewa atau menjual mesin mereka, kilang tidak dapat membuat bahan binaan dan tiada kemasukan bahan import. Akibatnya, industri pembinaan mengalami kerugian sehingga RM11.6 bilion sebulan,” katanya pada sidang media hari ini.

Kebanyakan pekerja pembinaan kembali bekerja ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), bagaimanapun pihak industri hanya boleh beroperasi pada kapasiti sebanyak 80 peratus.

Foo berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan untuk insentif dan pakej yang diperkenalkan untuk membantu pemulihan industri, selain itu beliau juga berharap moratorium pembayaran pinjaman untuk syarikat berkaitan pembinaan dapat dilanjutkan selama enam bulan lagi sehingga Mac 2021.

“Moratorium akan tamat tidak lama lagi…pada 30, September ini, kebanyakan syarikat berpendapat mereka tidak mampu membayar balik. Sebanyak 30 peratus syarikat pembinaan di Malaysia masih menghadapi masalah kewangan,” katanya.

Beliau berkata melanjutkan moratorium untuk enam bulan lagi dapat membantu memberi perlindungan kepada industri pembinaan, antara sektor ekonomi penting negara.

Ditubuhkan pada 1954 dan mempunyai sebanyak 17,000 ahli secara langsung dan tidak langsung, MBAM mensasarkan untuk menjadi penggerak utama dan pembela industri pembinaan di Malaysia.

Terdahulu, Foo menyampaikan ucaptama pada Majlis Perasmian Seminar MBAM mengenai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan edisi ketujuh dan Bengkel Permit Bekerja untuk Industri Pembinaan hari ini.

Acara itu dirasmikan Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang, Hassan Alias.

-BERNAMA