Categories
AGENDA NASIONAL

Syarat bina rumah diperketat, elak projek terbengkalai

SHAH ALAM, 15 SEPT: Syarat pembinaan rumah di negeri ini disemak dan diperketat dari semasa ke semasa bagi mengatasi isu projek terbengkalai.

Dato’ Menteri Besar berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) juga diarah mengenal pasti senarai pemaju bermasalah untuk menyiapkan projek seperti dijadualkan.

“Bermula 2008, Kerajaan Negeri melaksanakan dasar perumahan mampu milik yang melalui beberapa proses penambahbaikan demi menjaga hak serta kepentingan rakyat.

“Kita tidak akan bertolak ansur dengan pemaju yang hanya mementingkan projek rumah bernilai tinggi tetapi gagal menyiapkan projek rumah kos rendah,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada Majlis Penjenamaan Projek Rumah Idaman Taman Air Manis di Pusat Konvensyen Shah Alam hari ini.

Pada 6 Ogos lalu, Amirudin menegaskan keutamaan Kerajaan Negeri ialah membaik pulih 37 projek perumahan terbengkalai di bawah pemantauan Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai PBT.

Beliau berkata antara kejayaaan dicapai ialah menyelesaikan projek perumahan Idaman Warisan di Alam Perdana, Ijok yang terbengkalai sejak 1999.