Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor selamatkan 104 projek terbengkalai sejak 2008

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri berjaya menyelamatkan 104 projek terbengkalai antara 2008 hingga Oktober tahun ini.

EXCO perumahan berkata ia meliputi 35,776 projek perumahan, komersial dan industri.

Rodziah Ismail memaklumkan beberapa langkah proaktif turut dilaksana bagi membantu pembeli.

“Langkah meliputi penubuhan Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai bagi berbincang dengan semua pihak usaha memulihkan projek.

“Jawatankuasa Kecil Pemulihan Projek Terbengkalai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pula memantau pemulihan projek di peringkat PBT,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor mengeluarkan surat pengesahan projek terbengkalai supaya pembeli dapat menstruktur semula bayaran bulanan dengan bank.

Rodziah berkata agensi itu juga akan mencadangkan tindakan penguatkuasaan bagi memastikan hak pembeli terjamin.

“Tindakan perampasan tanah boleh dibuat jika wujud pelanggaran peruntukan mengikut Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 seperti kegagalan membayar cukai dan pelanggaran syarat menurut Seksyen 129 kanun yang sama,” katanya lagi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Syarat bina rumah diperketat, elak projek terbengkalai

SHAH ALAM, 15 SEPT: Syarat pembinaan rumah di negeri ini disemak dan diperketat dari semasa ke semasa bagi mengatasi isu projek terbengkalai.

Dato’ Menteri Besar berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) juga diarah mengenal pasti senarai pemaju bermasalah untuk menyiapkan projek seperti dijadualkan.

“Bermula 2008, Kerajaan Negeri melaksanakan dasar perumahan mampu milik yang melalui beberapa proses penambahbaikan demi menjaga hak serta kepentingan rakyat.

“Kita tidak akan bertolak ansur dengan pemaju yang hanya mementingkan projek rumah bernilai tinggi tetapi gagal menyiapkan projek rumah kos rendah,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada Majlis Penjenamaan Projek Rumah Idaman Taman Air Manis di Pusat Konvensyen Shah Alam hari ini.

Pada 6 Ogos lalu, Amirudin menegaskan keutamaan Kerajaan Negeri ialah membaik pulih 37 projek perumahan terbengkalai di bawah pemantauan Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai PBT.

Beliau berkata antara kejayaaan dicapai ialah menyelesaikan projek perumahan Idaman Warisan di Alam Perdana, Ijok yang terbengkalai sejak 1999.

Categories
SELANGOR

62 projek terbengkalai diselesaikan sejak 2008

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 20 MAC: Sebanyak 62 projek perumahan terbengkalai berjaya diselesaikan dari Mac 2008 sehingga Disember 2018 membabitkan 26,361 unit, kata Haniza Talha.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar itu berkata, beberapa pendekatan penyelesaian yang diambil Kerajaan Negeri menerusi Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) memberikan impak positif walaupun mempunyai bidang kuasa terhad kepada tindakan secara pentadbiran sahaja.

“Antara langkah yang diambil adalah pembentukan Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai (JPPT) bagi berbincang dan mendapatkan kerjasama semua pihak dalam memulihkan projek terbengkalai.

“LPHS turut mengeluarkan surat pengesahan projek terbengkalai supaya pembeli dapat berbincang dengan pihak bank di samping bertemu dengan jabatan teknikal seperti Air Selangor, Tenaga Nasional Berhad (TNB dan Indah Water Konsortium (IWK) bagi mempercepatkan pemulihan projek,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan mulut dikemukakan Ahli Dewan Negeri Taman Templer, Mohd Sany Hamzah di Dewan Negeri Selangor (DNS).

Haniza berkata, LPHS turut berperanan memberikan nasihat dan panduan kepada pembeli untuk membawa kes mereka ke Kementerian Perumahan dan Kerjaaan Tempatan (KPKT).

“LPHS juga mencadangkan kepada Kerajaan Negeri bentuk tindakan penguatkuasaan yang boleh diambil demi menjamin hak pembeli,” katanya.

Katanya, berdasarkan 62 projek terbengkalai yang diselesaikan itu, 44 daripadanya membabitkan projek berlesen (20,292 unit) sementara 18 projek tanpa lesen (6,069 unit lain).

 

Categories
SELANGOR

130 projek terbengkalai di Selangor, MPK tertinggi 31 kes

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 1 MAC: Sebanyak 130 projek terbengkalai dicatatkan Negeri Selangor menurut Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

Berdasarkan semakan Selangor Kini di laman web rasmi LPHS yang dikemaskini sehingga 5 November 2014 mendapati, jumlah itu dicatatkan mengikut pecahan 11 pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terdapat di Selangor.

Selangor-Rumah-TerbengkalaiMajlis Perbandaran Klang (MPK) mencatatkan projek terbengkalai tertinggi dengan 31 projek diikuti 15 projek di Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) dengan 14 projek.

Sementara Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) masing-masing mencatatkan kes terbengkalai pada kadar 10 kes ke bawah.

Bagi kes pemaju digulung, sebanyak 22 pemaju berhadapan masalah ini manakala Majlis Perbandaran Kajang mencatatkan jumlah tertinggi dengan enam syarikat.

Ini diikuti dengan Majlis Perbandaran Hulu Selangor dengan empat syarikat dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya dengan tiga syarikat.

EZY

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri Selesaikan Projek Rumah Terbengkalai PJS1

PETALING JAYA, 22 JULAI : Keresahan lebih 260 pembeli rumah kos rendah Blok E Petaling Jaya Selatan (PJS) Satu di sini dijangka berakhir apabila Kerajaan Selangor bertindak mengambilalih projek itu yang terbengkalai lebih sembilan tahun.

Rata-rata pembeli yang sekian lama menduduki kawasan setinggan berhampiran dengan tapak projek, melahirkan kegembiraan dengan tindakan Kerajaan Selangor itu.

Bagi peniaga, Mat Saperi Lebai Ayob, 57, tindakan kerajaan Selangor yang mahu mencari jalan penyelesaian wajar dipuji.

“Sebagai pembeli yang rumah sudah terbengkalai lebih sembilan ke sepuluh tahun, (saya) beranggapan isunya akan selesai tak lama lagi.

?Memang perkara ini sudah lama sangat dan pembeli amat sedih dan kecewa. Ada yang sudah uzur, tua dan ada yang sudah meninggal dunia.

“Dengan kehadiran Menteri Besar (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) berdialog bersama semua pembeli, saya rasa satu keputusan yang baik akan diperolehi nanti oleh kita semua.”

Beliau ditemui TVSelangor selepas majlis perjumpaan Menteri Besar bersama pembeli RKR Blok E Unit PJS Satu di Bangunan Serbaguna Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini semalam.

Projek itu melibatkan pembinaan 262 unit pangsapuri kos rendah yang dimulakan pada 2003.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembeli Blok E PJS Satu, M Sugumaran berharap Kerajaan Negeri dan mengadakan perbincangan dan mesyuarat dengan jawatankuasa penduduk secepat mungkin bagi mencari jalan penyelesaian.

“Ini kali kedua Menteri Besar datang bagi sesi dialog dan kita harap satu keputusan akan dapat dicapai sebagaimana yang dikatakan oleh beliau.

?Saya yakin sebagai kerajaan yang prihatin dan berkebajikan, maasalah kami ini akan dapati diselesaikan,” katanya.

Sementara itu, Abdul Khalid dalam sidang media berkata, satu jawatankuasa bertindak akan ditubuhkan bagi mencari penyelesaian dalam perkara itu.

Beliau berkata, jawatankuasa itu melibatkan Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad, Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Roslam Sakiman, jawatankuasa penduduk dan pihak-pihak berkaitan.

“Saya telah mengaarahkan Iskandar bersama Datuk Bandar dan wakil penduduk mengadakan perbincangan dan dalam bulan puasa ini sekurang-kurang dua kali supaya semua perkara dapat diseleesaikan.

?Tujuannya apabila kita lancarkan projek perumahan untuk mereka yang akan mendapat rumah-rumah ini maka tiada lagi perkara yang mengelirukan berbangkit.

“Kita mesti selesaikan sebab sudah lama sangat orang tunggu. Bagaimanapun keputusan hanya akan boleh dibuat selepas proses pengambilalihan tanah bagi menjayakan projek tersebut,” katanya.

Categories
SELANGOR

PR Berjaya Atasi Projek Rumah Terbengkalai Era BN Di Subang

SHAH ALAM 2 FEB : Kerajaan Negeri Selangor ditadbir Pakatan Rakyat (PR) berjaya mengatasi masalah projek perumahan di Subang yang terbengkalai hampir 20 tahun yang diwarisi daripada BN.

Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa berkata, projek perumahan terbengkalai bagi penduduk rumah panjang Kampung Bunga Raya, Subang adalah satu daripada 140 projek yang ditinggalkan Umno-BN ketika menerajui Kerajaan Negeri Selangor sebelum ini.

Menurutnya, sejak mengambilalih Kerajaan Negeri, PR berusaha mengatasi masalah dihadapi rakyat termasuk projek rumah terbengkalai kerana Umno-BN lebih mengutamakan pemilikan kediaman kepada pemimpin dan ahli parti itu.

Masalah seperti itu, jelasnya dihadapi penduduk rumah panjang tersebut apabila Syarikat Sinar Fadzilat Sdn Bhd telah menukar status kediaman apabila dijadikan kawasan perumahan banglo mewah untuk pemimpin Umno-BN tempatan.

“Ini bermula pada 1994 mereka dipindahkan ke sini ke rumah panjang kerana tempat mereka akan didirikan oleh Sinar Fadzilat Sdn Bhd dan mereka dijanjikan dibina rumah kos rendah di satu tapak bersebelahan dengan rumah panjang sekarang.

“Sepatutnya dalam dua tahun pada masa itu sudah siap dan mereka dapat rumah tetapi tak jadi dan kita kena faham kenapa tak jadi. Sebabnya tanah yang diperuntukkan untuk rumah kos rendah itu diambil oleh pemimpin Umno-BN tempatan sendiri ditukar kepada lot besar untuk banglo,” katanya kepada media di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Dr Mohd Nasir Hashim.

Projek perumahan itu diambilalih ECL Management Sdn Bhd yang akan menyiapkan pangsapuri kos rendah itu dengan jumlah 480 unit dalam tempoh setahun. Penduduk Kampung Bunga Raya diberi hak pemilikan dengan harga jualan RM42,000 manakala pemilik lain dengan harga RM68,000.

Sivarasa berkata, hak penduduk kampung itu dinafikan selama ini serta keadaan itu amat mendukacitakan.

Pihaknya turut mempersoalkan kenyataan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Shafie Abdullah dalam lawatan ke kawasan itu pada 28 Januari lalu yang berjanji akan menyelesaikan masalah itu sekiranya Selangor dikembalikan kepada Umno-BN.

Tegasnya, sewajarnya Shafie meminta maaf kepada penduduk Kampung Bunga Raya atas kegagalan itu dan penindasan yang dilakukan Umno-BN selama ini.

“Untuk memulihkan projek terbengkalai bukan senang khususnya kos rendah sebab hutangnya besar dan subsidi oleh pemaju yang sudah melarikan diri. Projek ini berhutang berjuta-juta ringgit. Cukai tanah, cukai pintu dan macam-macam,” katanya.

Namun katanya PR komited untuk menyelesaikan masalah itu yang membebani rakyat dalam tempoh lama.

Dr Mohd Nasir pula berkata, PR dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan memastikan usaha pemulihan itu berjalan lancar.

Katanya, pastinya apa dilakukan itu adalah demi kebaikan penduduk yang selama hampir 18 tahun mendiami rumah panjang yang dikatakan kediaman sementara.

“Saya percaya dan saya telah berbincang dengan Datuk Bandar Shah Alam dan MBSA mahu bekerjasama dan membantu mengatasi masalah ini. Menang dalam perjuangan kita dan duduk rumah panjang lebih 18 tahun itu sudah lebih.

Kita anggap dalam dua tahun dah pindah tapi oleh kerana berlaku perkara seperti ini kita kena tanggung beban kita akan berusaha untuk mengatasi masalahnya,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga telah menyumbang pelbagai bantuan kepada penduduk seperti bayaran bil air, membaikpulih paip air dan yang lain di kawasan rumah panjang tersebut.

Seorang pembeli, M Selvam, 50, ketika ditemui berkata, dia bersyukur kerana hasratnya memiliki rumah sendiri terlaksana juga selepas Kerajaan Negeri mengatasi segala masalah dan projek perumahan itu dapat diteruskan hingga disiapkan.

Katanya, kawasan tersebut adalah berpotensi pada masa depan dan menjadi kawasan tumpuan ramai dengan pelbagai pembangunan di sekitarnya.

“Cantiklah. Ini bandar Subang akan mengalami banyak pembangunan dan dikatakan satu stesen LRT akan dibina di sini,” katanya.