Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Tiada kes Covid-19, Selangor kekal zon hijau dua hari berturut

SHAH ALAM, 16 SEPT: Selangor mencatatkan sifar kes positif Covid-19 hari ini dan mengekalkan status negeri zon hijau buat dua hari berturut-turut.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) dalam kenyataan memaklumkan perkembangan itu namun meminta penduduk terus bekerjasama bagi memastikan negeri ini bebas sepenuhnya daripada pendemik berkenaan.

“Memetik kata-kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada 11 Jun lalu, penanda aras bagi bebas jangkitan Covid-19 ialah apabila tidak ada kes baharu direkodkan dalam tempoh 28 hari.

“Mari kita berusaha untuk menempuhinya. Ia merupakan sasaran realistik memandangkan kita sedang melakukannya dan jangan mengabaikan SOP (tatacara operasi piawai) serta pengamalan norma baharu. Pada bila-bila masa, penularan tempatan boleh terjadi apabila kita leka,” katanya menerusi Facebook.

Pasukan itu menambah, adalah sangat kritikal dan penting untuk penduduk terus mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan basuh tangan secara kerap.

Setakat ini, Selangor merekodkan jumlah kumulatif kes sebanyak 2,199 dengan kes penularan tempatan (1,940), jangkitan luar negara (259) dan tiada kematian.

Terdahulu, Dr Noor Hisham memaklumkan sebanyak 62 kes baharu Covid-19 direkodkan hari ini dengan 61 membabitkan jangkitan dalam negara dan satu kes import menjadikan jumlah keseluruhan di negara kini 10,031 kes.