Categories
AGENDA NASIONAL

Bekalan air di Kuala Selangor pulih sepenuhnya

SHAH ALAM, 13 OKT: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata bekalan air di semua 28 kawasan di Kuala Selangor pulih sepenuhnya jam 10 malam ini.

Ketua komunikasi korporatnya berkata kerja penggantian injap di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Sireh yang mengakibatkan gangguan bekalan air berjadual selesai jam 3 petang tadi.

“Air Selangor ingin mengucapkan terima kasih kepada para pengguna di atas kesabaran dan kerjasama diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini,” kata Elina Baseri dalam kenyataan.

Terdahulu, agensi memaklumkan kerja penggantian injap LRA Sungai Sireh yang bermula jam 9 pagi hingga 6 petang menyebabkan gangguan bekalan air berjadual di 28 kawasan di daerah itu.

Untuk maklumat lanjut dan status terkini bekalan air, pengguna boleh layari laman sesawang agensi di www.airselangor.com dan saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.