Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Belanjawan 2021: Hijrah jangka 1,000 usahawan dapat manfaat

SHAH ALAM, 31 OKT: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) menganggar lebih 1,000 usahawan baharu bakal menerima manfaat menerusi peruntukan pinjaman RM15 juta pada tahun hadapan.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya Normaiza Yahya berkata inisiatif itu memberi peluang kepada golongan itu memulakan perniagaan bagi meningkatkan ekonomi mereka.

Beliau juga berharap peruntukan tersebut juga dapat membantu usahawan beranjak ke arah pendigitalan perniagaan.

“Hijrah Selangor berterima kasih kepada Kerajaan Negeri atas peruntukan dan ia membolehkan penyaluran modal dengan mudah, cepat serta tidak membebankan kepada usahawan,” katanya pada 31 Oktober.

Melalui Belanjawan Selangor 2021, Hijrah Selangor menerima peruntukan RM15 juta bagi membantu usahawan membuat pinjaman. Sehingga kini, Hijrah menyalur pinjaman RM517 juta bagi membantu 53,958 usahawan.

Selain itu, Normaiza berkata inisiatif e-dapur 2.0 serta e-pembekalan peruncit mikro dan kecil yang akan dilaksanakan turut membantu usahawan negeri ini.

“Kita pernah melaksanakan e-dapur 1.0 dan usahawan yang menyertainya amat berpuas hati, malah menerima keuntungan tidak dijangka.

“Sudah pasti dengan pelaksanaan inisiatif baharu ini akan mendorong usahawan bergerak lebih maju,” katanya lagi.