Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Empat hari berturut, kes baharu terus lebih 800

SHAH ALAM, 20 OKT: Kes baharu Covid-19 di negara ini merekodkan angka melebihi 800 kes selama empat hari berturut-turut dengan 862 kes hari ini.

Dengan pertambahan itu menjadikan kes keseluruhan sebanyak 22,225 dengan 7,681 kes aktif.

Ketua pengarah kesihatan berkata seramai 634 pesakit berjaya sembuh dengan jumlah keseluruhan yang pulih 14,351 kes.

Menurutnya, terdapat 95 kes positif wabak itu sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 29 memerlukan bantuan pernafasan.

“Daripada maklumat terkini dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), terdapat pertambahan tiga kes kematian, menjadikan jumlah terkumpul 193 kes,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media hari ini.

Beliau turut memaklumkan Sabah kekal negeri dengan catatan tertinggi iaitu 673 kes atau 78.1 peratus daripada jumlah kes baharu dilaporkan hari ini.

“Selain itu, sebanyak 235 kes atau 27.3 peratus adalah daripada Kluster Penjara Kepayan dan Kluster Tembok. Kes ini sememangnya terasing di dalam penjara dan tidak menjangkiti masyarakat.

“Selangor turut mencatat 132 kes dan daripada jumlah berkenaan 84 kes dikesan daripada kluster sedia ada termasuk lapan dari kluster yang mempunyai sejarah perjalanan pulang dari Sabah,” katanya.

Kes tertinggi harian Covid-19 di negara ini dicatat pada Ahad lalu iaitu 871 manakala sehari sebelumnya dengan 869 kes dan semalam 865.