Categories
AGENSI SELANGOR

Covid-19: Masih tiada vaksin, rakyat diminta terus patuh SOP

SHAH ALAM, 18 OKT: Rakyat diminta terus kekal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dalam mencegah Covid-19 susulan vaksin bagi mengatasinya masih belum ditemui.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) memaklumkan ia adalah penyelesaian setakat ini dengan terus mengamalkan pemakaian pelitup muka, menggunakan cecair pembasmi kuman, amalkan jarak sosial dan kerap membasuh tangan.

“Covid-19 seolah-olah tiada pengakhiran yang boleh dilihat lagi. Dengan lebih 16 juta kes jangkitan yang melibatkan lebih sejuta kematian, semestinya fenomena ini menggerunkan penduduk antarabangsa.

“Walaupun masalah ini merupakan isu sejagat, kita ada peranan sangat penting dan kritikal,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

STFC turut menambah sehingga kini kes positif Covid-19 mencecah 16 juta di benua Amerika serta empat negara, Amerika Syarikat, Brazil, India dan Rusia sudah merekodkan lebih sejuta kes.

“Perjalanan antarabangsa masih sangat terhad dan mengganggu perdagangan. Setiap hari, semua orang cemas memikirkan nasib yang terkesan dengan kejatuhan ekonomi ketara. Malah kekangan aktiviti harian membantutkan sebarang potensi yang membawa manfaat,” katanya.