Categories
AGENDA NASIONAL

Dr Noor Hisham menghadap Agong maklum situasi terkini Covid-19

SHAH ALAM, 26 OKT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan ketua pengarah kesihatan menghadap baginda di istana semalam.

Perkara tersebut disahkan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang berkata pihaknya diminta membentangkan situasi terkini Covid-19 serta perolehan vaksin penyakit tersebut kepada Raja-Raja Melayu.

“Kita maklumkan sebanyak sembilan kajian keberkesanan vaksin Covid-19 dilakukan tetapi setakat ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) belum terima maklumat lengkap mengenainya.

“KKM dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) memantau perkembangan kajian vaksin dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata KKM turut berkongsi dengan Raja-Raja Melayu berhubung usaha mengekang penularan wabak sejak dikesan di negara ini pada Disember tahun lalu sehingga setakat ini.

Semalam Yang di-Pertuan Agong bertitah tiada keperluan buat masa ini untuk mengisytiharkan darurat selepas merasakan kerajaan berjaya menangani wabak Covid-19 dengan baik dan berkesan.