Categories
EXCO SELANGOR

Jawatankuasa strategik industri halal ditubuh, jadikan Selangor hab serantau

SHAH ALAM, 22 OKT: Jawatankuasa Strategik Industri Halal Selangor bakal ditubuh untuk memacu negeri ini sebagai hab industri halal di Malaysia dan serantau.

EXCO industri halal berkata jawatankuasa tersebut dianggotai Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) dan pakar bidang berkaitan halal.

“Saya akan umumkan secara rasmi penubuhan jawatankuasa ini dalam tempoh terdekat dan perkara pertama akan dilakukan ialah melaksanakan penyusunan dan penstrukturan semula Halal International Selangor (HIS).

“Jawatankuasa ini antara lain berperanan merancang pelan strategik ekonomi yang bakal membuka peluang pelaburan, trend dagangan dan penjanaan pendapatan kepada negeri,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni kepada SelangorKini hari ini.

Beliau berkata industri halal bukan tertumpu produk makanan dan minuman sahaja sebaliknya melibatkan pelbagai sektor yang memberi manfaat kepada industri tempatan.

“Selain itu pembangunan industri halal perlu seiring dengan perkembangan teknologi terkini ke arah merealisasikan Selangor Negeri Pintar menjelang 2025,” katanya.

Pada 7 Disember tahun lepas Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) Malaysia menjangka nilai pasaran industri halal Malaysia mencecah kira-kira RM614.36 bilion menjelang 2025.

Trend kukuh tersebut disokong peningkatan jumlah pengguna halal, selain peningkatan produk makanan disahkan halal yang dijangka memacu pasaran halal global pada tahun akan datang.