Categories
AGENSI SELANGOR

Kes Covid-19 meningkat, LZS tutup sementara lima cawangan

SHAH ALAM, 22 OKT: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menutup lima cawangannya buat sementara waktu susulan peningkatan kes Covid-19 di beberapa mukim di negeri ini.

Agensi itu memaklumkan cawangan terlibat ialah di Sungai Buloh, Masjid Kota Damansara, Seksyen 14 Petaling Jaya, Puchong dan Kajang.

“Masih terdapat 17 cawangan lain dibuka dan orang ramai yang hadir wajib mematuhi tatacara operasi piawai iaitu memakai pelitup muka, menyukat suhu badan, menggunakan cecair pembasmi kuman dan mengimbas kod QR MySejahtera.

“Selain itu, kebersihan premis LZS akan turut dipantau dan dipastikan berada pada tahap optimum dengan mengadakan proses nyahkuman secara berkala,” katanya kepada SelangorKini.

LZS turut memaklumkan waktu operasi kesemua cawangan itu bermula jam 10 pagi hingga 2 petang manakala di UTC Shah Alam 8 pagi hingga 7 petang dan sebarang perubahan akan dikemas kini menerusi laman Facebook rasmi.

Bagi semakan bantuan dan cetakan penyata, orang ramai boleh layari ezo.zakatselangor.com.my, fpx.zakatselangor.com.my untuk bayaran zakat atau hubungi talian 1-300-88 -4343.

Pada 14 Oktober lalu, LZS menutup cawangannya di Kompleks Majlis Agama Islam Selangor, Klang dan Klang Sentral berikutan kedua-duanya berada dalam zon merah.

PKPB dilaksana di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai 14 hingga 27 Oktober.