Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih 1,000 anggota bomba siap sedia hadapi air pasang besar

SHAH ALAM, 12 OKT: Lebih 1,000 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor sedia digerakkan sebagai persediaan berdepan fenomena air pasang besar kedua, Sabtu ini.

Penolong Pengarah Operasinya Hafisham Mohd Noor berkata antara balai terlibat ialah Sabak Bernam, Kuala Langat, Klang dan Sepang.

“Fenomena ini diramal berlaku pada 17 hingga 19 Oktober, oleh itu dalam tempoh tiga ke empat hari sebelum kejadian, kami akan memantau cuaca dan lokasi yang berisiko banjir kilat.

“Selain itu, anggota bomba juga menjalani latihan pengendalian bot sepanjang bencana berlaku,” katanya ketika dihubungi.

Fenomena air pasang besar kedua dijangka melanda Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam dengan ketinggian aras air sekitar 5.7 hingga 5.8 meter.

Data ramalan Pusat Hidrografi Nasional menjangka fenomena kali ini tertinggi dalam tempoh 20 tahun.