Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih RM500,000 biaya pakej data internet percuma pelajar Kuis

SHAH ALAM, 2 OKT: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM502,500 bagi pembiayaan pakej data internet percuma kepada mahasiswa Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis).

Dato’ Menteri Besar berkata inisiatif itu bagi memastikan program pendidikan dan pengajaran di institusi berkenaan berjalan lancar meskipun perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ketat susulan Covid-19.

“Cabaran kita usahakan supaya pengajaran dan pendidikan dalam talian dapat dilaksanakan sebaik mungkin walaupun berdepan kekangan mendapat data internet khususnya bagi pelajar dari keluarga berpendapatan rendah,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam tayangan video sempena Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Kuis di Pusat Konvensyen Kuis, Bangi hari ini.

Beliau berkata institusi pengajian tinggi lain milik Kerajaan Negeri seperti Universiti Selangor (Unisel) dan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) juga dibantu bagi memperkasa agenda pendidikan negeri.

Dalam majlis sama, institusi itu turut menerima dana rangsangan masing-masing RM1 juta daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) sebagai sokongan menghadapi pandemik Covid-19.