Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MB: Noraini Roslan dilantik Datuk Bandar Subang Jaya

SHAH ALAM, 20 OKT: Noraini Roslan dilantik selaku Datuk Bandar Subang Jaya berkuat kuasa hari ini apabila majlis perbandaran itu dimasyhurkan sebagai bandar raya.

Pemasyhuran itu oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj apabila bertitah perbandaran itu kini hendaklah disebut sebagai Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) buat selama-lamanya.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pemasyhuran Subang Jaya menjadi bandar raya diharap memantapkan pembangunan mapan dan lokaliti sekitarnya melalui sistem penyampaian perkhidmatan berkelas dunia.

“Kerajaan Negeri merafak sembah takzim dan menjunjung kasih DYMM Sultan Selangor atas perkenan yang telah diberikan.

“Dengan izin Allah SWT, cita-cita ini akan dapat digembleng bersama ke arah merealisasi agenda Selangor Maju Bersama,” kata Dato’ Menteri Besar dalam kenyataan.

Bangunan Majlis Bandaraya Subang Jaya pada 20 Oktober 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI