Categories
AGENDA NASIONAL

PKPB langkah proaktif elak kes Covid-19 meningkat – Muhyiddin

SHAH ALAM, 14 OKT: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di beberapa kawasan termasuk seluruh Selangor merupakan langkah proaktif, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata keputusan juga dibuat selepas melihat peningkatan data dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung kes Covid-19.

“Umpama trend di Selangor. Mulanya dua daerah, Klang babitkan mukim dan Petaling. Walaupun ditutup dan disekat tetapi kawasan lain terkesan.

“Jadi kena ambil langkah drastik ini. Lebih baik cara ini dari dah berlaku (peningkatan jangkitan) baharu nak ambil tindakan,” katanya pada sidang media semalam.

Muhyiddin berkata langkah sama tetap akan dibuat terhadap negeri lain yang mencatatkan peningkatan selain kawasan menjadi zon merah atau kuning.

Katanya walaupun PKPB menyebabkan banyak tekanan dari segi kemudahan seperti pasukan petugas hadapan, perubatan dan keperluan pelitup muka namun ia tetap perlu dilaksanakan.

“Bagi kerajaan kita tidak mahu nyawa rakyat terkorban. Jadi kita ambil langkah prokatif ini untuk tentukan nasib rakyat,” katanya.