Categories
AGENDA NASIONAL

Perutusan khas perdana menteri 6 petang ini

KUALA LUMPUR, 11 JAN: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menyampaikan perutusan khas mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, pada 6 petang ini.

Menerusi catatan di laman Facebook beliau, perutusan khas itu akan disiarkan secara langsung di saluran stesen televisyen tempatan iaitu Radio Televisyen Malaysia (RTM), Bernama TV, TV3 dan Astro Awani.

Pada Jumaat, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Perdana Menteri akan membuat pengumuman khas hari ini mengenai tindakan yang akan dilaksanakan kerajaan, berhubung situasi semasa jangkitan Covid-19 yang menunjukkan trend peningkatan.

Sejumlah 2,433 kes harian baharu Covid-19 dilapor semalam menjadikan jumlah kumulatif kes positif ialah 135,992 kes, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 27,332 kes.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPB langkah proaktif elak kes Covid-19 meningkat – Muhyiddin

SHAH ALAM, 14 OKT: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di beberapa kawasan termasuk seluruh Selangor merupakan langkah proaktif, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata keputusan juga dibuat selepas melihat peningkatan data dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung kes Covid-19.

“Umpama trend di Selangor. Mulanya dua daerah, Klang babitkan mukim dan Petaling. Walaupun ditutup dan disekat tetapi kawasan lain terkesan.

“Jadi kena ambil langkah drastik ini. Lebih baik cara ini dari dah berlaku (peningkatan jangkitan) baharu nak ambil tindakan,” katanya pada sidang media semalam.

Muhyiddin berkata langkah sama tetap akan dibuat terhadap negeri lain yang mencatatkan peningkatan selain kawasan menjadi zon merah atau kuning.

Katanya walaupun PKPB menyebabkan banyak tekanan dari segi kemudahan seperti pasukan petugas hadapan, perubatan dan keperluan pelitup muka namun ia tetap perlu dilaksanakan.

“Bagi kerajaan kita tidak mahu nyawa rakyat terkorban. Jadi kita ambil langkah prokatif ini untuk tentukan nasib rakyat,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

PM: Malaysia diiktiraf berjaya urus, kawal wabak Covid-19

PUTRAJAYA, 6 JULAI: Malaysia telah diiktiraf antara negara yang amat berjaya di dunia dalam mengawal dan menguruskan wabak Covid-19, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Berucap pada perjumpaannya bersama kira-kira 250 warga Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini, beliau berkata kejayaan tersebut adalah berkat usaha kesungguhan dan kerjasama semua pihak di peringkat kerajaan hingga masyarakat.

“Kita bersyukur kerana Malaysia telah dapat melalui satu tempoh masa yang amat mencabar iaitu untuk menangani wabak Covid-19 yang telahpun melanda dunia dan Malaysia tidak terkecuali.

“Kesemuanya ini kerana adanya usaha bersungguh-sungguh kita bersama-sama, baik di peringkat kerajaan mahupun rakyat jelata, menguruskan secara bijaksana, tegas dan berani membuat keputusan yang segera dan tepat untuk menentukan wabak penyakit ini tidak menular dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata kerajaan tidak memandang remeh sesuatu isu sekiranya ia melibatkan kesejahteraan rakyat walaupun Malaysia tidak mempunyai pengalaman berhadapan dengan wabak sedemikian dalam tempoh lebih 60 tahun.

Muhyiddin turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada penjawat awam dan petugas barisan hadapan atas usaha menangani Covid-19 termasuk doktor, jururawat, tentera, polis, Majlis Keselamatan Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Beliau berkata hari ini Malaysia sudah sampai ke peringkat Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), iaitu satu fasa yang boleh dikatakan memberi banyak ruang untuk memulakan semula kehidupan seperti biasa.

“Dalam fasa pemulihan yang sedang kita lalui sekarang, inilah satu tempoh yang agak lebih mencabar. Ini adalah satu lagi peringkat yang perlu kita ambil kira secara terperinci.

“Walaupun Covid-19 belum selesai sehingga vaksin itu dapat ditemui, tetapi kita telah mengambil langkah ke hadapan, mungkin lebih awal daripada banyak negara-negara lain yang sedang dilanda wabak ini,” katanya.

Setakat 12 tengah hari semalam, kes kumulatif yang dicatatkan di Malaysia ialah sebanyak 8,663 dengan 121 kematian, dan kes aktif hanya 77.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Halang tugas penjawat awam, KDN serah siasatan kepada polis

KUALA LUMPUR, 14 APR: Kementerian Dalam Negeri menyerahkan siasatan kepada polis berhubung isu sekumpulan lelaki yang dipercayai bertindak memeriksa sebuah kererta peronda polis (MPV) semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau semalam.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, semua penyokong parti politik diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak mengambil sebarang tindakan yang melanggar undang-undang.

“Berhubung isu beberapa individu yang dikatakan penyokong parti Pakatan Harapan bertindak memeriksa kenderaan polis semasa PRK DUN Rantau, saya ingin menyeru semua pihak supaya patuh kepada undang-undang,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebook rasminya hari ini.

Dalam pada itu, Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, mengesahkan satu laporan polis telah dibuat berhubung kejadian itu dan membolehkan siasatan dijalankan.

“Ia ekoran kejadian menghalang penjawat awam menjalankan tugas rasmi di mana kumpulan lelaki itu dirakam (video) memaksa dua anggota polis membuka but MPV polis kerana didakwa membawa lebihan kertas undi semasa PRK DUN Rantau,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 186 dan Seksyen 341 Kanun Keseksaan.

Katanya, Seksyen 186 adalah kerana menghalang tugas penjawat awam yang mana jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda maksmum RM10,000 atau kedua-duanya.

Seksyen 341 kerana menghalang seseorang dengan salah dan boleh diambil tindakan penjara boleh sampai sebulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya, katanya.

Abdul Hamid berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan di luar batasan undang-undang dengan menghalang mana-mana penjawat awam daripada menjalankan tugas rasmi mereka.

“Sila laporkan kepada polis jika terdapat sebarang maklumat yang menjurus kepada pelanggaran undang-undang dan jangan sesekali mengambil tindakan di tangan sendiri,” katanya.

Rakaman video berdurasi 46 saat itu tular di laman sosial menunjukkan beberapa lelaki menahan kenderaan MPV polis dan memeriksa but kereta namun hanya menemui peralatan keselamatan dan peti ubat.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Muhyiddin: Menteri & MP tiada ketika perbahasan bukan isu besar

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Menteri dan Ahli Parlimen (MP) tiada dalam dewan semasa sesi perbahasan dijalankan di Parlimen bukan isu besar, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Katanya, perkara perbahasan akan dicatat dan dimasukkan dalam ‘hansard’, serta setiap menteri juga mempunyai pegawai yang akan memaklumkan perbincangan berhubung isu ditimbulkan.

“Saya fikir ia terserah kepada menteri, MP sama ada mahu dengar atau tidak, saya juga tidak tahu kenapa mereka tidak mahu dengar, mungkin sudah selalu dengar.

“Saya sudah lama berada di Parlimen, kadang-kadang ada juga seorang MP berbahas tapi tiada orang dalam dewan, dia tetap berucap hari-hari,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Pengurusan Pekerja Asing dengan Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran di Parlimen, di sini, hari ini.

Terdahulu, mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi Facebook beliau mempersoalkan berkenaan ketiadaan menteri dan timbalan menteri semasa beliau berbahas di Parlimen.

“Bila saya tulis di FB, ada yang panggil saya bawa ke Parlimen, Bila saya bawa ke Parlimen, ramai menteri dan timbalan menteri hilang. Lain kali saya tulis di FB, sudah,” tulisnya.

Sementara itu, M. Kulasegaran turut mengulas bahawa dengan wujudnya teknologi terkini, perbahasan di Parlimen disiarkan secara langsung menerusi pelbagai medium dan boleh diakses di mana sahaja.

“Walaupun di sini (bilik mesyuarat) kami diberitahu perkara yang berlaku, tidak bermakna kami perlu berada di Parlimen,” katanya.

Categories
NASIONAL

Berhenti bohong Zahid, Muhyiddin

SHAH ALAM, 28 APR: Barisan Nasional (BN) tidak perlu berbohong kepada rakyat di Permatang Pauh dengan menabur janji manis demi memenangi pilihan raya kecil (PRK) parlimen itu.

Pengarah Pilihan Raya Wanita PKR, Haniza Talha berkata, BN sering mengkhianati rakyat dengan memberi janji kosong sejak pilihan raya umum (PRU) lalu.

hanizaKatanya, BN pernah berjanji untuk membina rumah mampu milik di seluruh Pulau Pinang dengan mendirikan papan iklan bagi menarik perhatian pengundi, namun tidak dilaksanakan sehingga kini.

“Mengapa kita perlu PRU atau PRK sebelum BN mula menjanjikan imbuhan kepada rakyat?

“Kerja menaik taraf dan pembangunan di negara ini perlu dilakukan berterusan bukan ketika pilihan raya sahaja untuk memenangi hati pengundi,” katanya dalam kenyataan media, di sini.

Haniza berkata, jawatankuasa pilihan raya perlu membatalkan penyertaan BN kerana ia adalah rasuah secara terang-terangan dan menyalahguna dana awam.

muhyiddin-zahid-300Sebelum ini, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penduduk Permatang Pauh bakal menerima peruntukan khas lebih RM5 juta jika BN menang dalam PRK Permatang Pauh.

Katanya, peruntukan itu akan digunakan bagi membaik pulih serta menaik taraf pelbagai kemudahan dan infrastruktur.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula berjanji memperuntukkan RM400 juta kepada hospital Permatang Pauh.

Categories
NASIONAL SELANGOR

25 NG0 desak kerajaan tangguh PPPM 2013-2025

gambar hiasan
gambar hiasan

SHAH ALAM 27 OGOS : Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) mendesak kerajaan mewartakan laporan muktamad Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2013-2025) segera dan menangguhkan pelaksanaan kertas putih itu sehingga rakyat berpeluang memberi maklumbalas terakhir.

GBM yang merupakan gabungan 25 badan bukan kerajaan (NGO) berkata, pada 29 November 2012, menyerahkan 10 muka surat memorandum kepada kerajaan berkaitan PPPM 2013-2025.

“Dalam memorandum tersebut, kami mengalu-alukan inisiatif Kementerian Pendidikan menyediakan kertas putih yang inklusif dan berasaskan perundingan.

“Mengikut kefahaman kami, ia adalah bertujuan untuk pembangunan dan kemaslahatan semua sektor pendidikan termasuk keagamaan dalam negara.

“Kami ingin merakamkan kerungsingan kami kerana kertas putih pendidikan tersebut dimuktamadkan tanpa mengambil kira sepenuhnya dapatan dan saranan organisasi pertubuhan sivil,” kata GBM dalam kenyataan medianya.

Menurut kenyataan itu, pelbagai keperihatinan disentuh berkenaan aspek penting dalam kertas putih tersebut seperti falsafah pendidikan kebangsaan, pendidikan vokasional dan pendidikan vernakular.

Ia turut juga merangkumi pengajaran pelbagai bahasa, isu-isu keciciran pengajian dan pengajaran subjek-subjek sejarah, geografi dan kesusasteraan.

“Kami menyeru pihak Kementerian Pendidikan untuk melanjutkan tarikh tamat perundingan bagi kertas putih tersebut supaya organisasi pertubuhan sivil berkesempatan untuk mengkaji draf disemak,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu menyatakan pihak kerajaan akan meneruskan usahanya melaksanakan kertas putih berkenaan.

Kenyataan mutakhir oleh Menteri Pendidikan Pertama, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengisyaratkan bahawa PPPM akan dilancarkan pada 6 September ini dan tidak akan ditunda walaupun terdapat bangkangan pelbagai pihak.

“GBM tidak akan menyokong dan mengesahkan pembangunan pendidikan yang mana, mengikut Kementerian Pendidikan, mengandungi 17,000 saranan untuk perubahan tanpa merujuk kepada salinan muktamad.

“Dan memastikan bahawa 17,000 saranan perubahan sebenarnya adalah berdasarkan prinsip-prinsip keadilan, kesaksamaan dan keterangkuman merentasi sempadan etnik dan faedah kepada semua aliran institusi pendidikan dan komuniti.

“Kemaslahatan pendidikan generasi muda kita layak mendapat pertimbangan berhati-hati dan teliti; dan juga tidak tergesa-gesa dalam membuat dasar dan pelaksanaan,” kata kenyataan itu.- mza