Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor catat 176 kes baharu Covid-19, saringan kluster 109

SHAH ALAM, 26 OKT: Selangor merekodkan angka harian Covid-19 tertinggi dengan 176 kes hari ini, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 109 kes dikesan menerusi saringan kluster, 34 kes saringan kontak rapat dan 33 kes saringan lapangan.

“Secara keseluruhan Sabah merekodkan kes tertinggi 927 kes, Pulau Pinang (61), Negeri Sembilan (25), Kuala Lumpur (17), Perak (lapan), Sarawak (tujuh) dan Labuan (lima).

“Negeri lain pula melibatkan Johor (empat), Kedah dan Terengganu masing-masing tiga serta Melaka (dua),” katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Pada 23 Oktober lalu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan kluster baharu Kluster Palma di Gombak dan Hulu Selangor, Selangor serta Kepong, Kuala Lumpur; dan Kluster Jaya di Sepang, Selangor dan Seremban, Negeri Sembilan.

Selain itu Kluster Auto turut dikesan pada 18 Oktober melibatkan daerah Petaling, Kuala Langat dan Klang di Selangor serta daerah Seremban, Negeri Sembilan.

Penularan Covid-19 di Malaysia merekodkan angka tertinggi hari ini dengan 1,240 kes menjadikan jumlah keseluruhan 27,805 kes dengan 9,774 daripadanya kes aktif.