Categories
SELANGOR

Selangor catat 24 kes baharu Covid-19

SHAH ALAM, 9 OKT: Sebanyak 24 kes baharu Covid-19 direkodkan di Selangor hari ini dengan 17 dikesan hasil saringan kontak rapat, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata tiga kes dikesan dari individu yang pulang dari Sabah.

“Dua kes direkodkan dari lain-lain saringan manakala dua kes lagi masing-masing membabitkan kluster Benteng PK dan kluster Jalan Meru,” katanya menerusi siaran langsung di Facebook hari ini.

Terdahulu, Dr Noor Hisham memaklumkan pertambahan 354 kes baharu Covid-19 hari ini menjadikan keseluruhan kes positif 14,722 dengan 3,863 merupakan kes aktif.

Selain itu, enam kematian baharu akibat pandemik dicatatkan di Sabah menjadikan jumlah terkumpul 152 kes.