Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor sedia saringan Covid-19 percuma kepada individu bergejala

SHAH ALAM, 16 OKT: Kerajaan Selangor akan menyediakan saringan Covid-19 percuma kepada individu bergejala seperti batuk dan sakit tekak.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata khidmat itu diuruskan Klinik Selcare dan ia bakal diumumkan selepas keputusan muktamad.

“Kita juga akan membuat saringan terhadap kontak rapat mana-mana kes positif yang risau hingga tidak mampu membuat kerja. Caj dikenakan pada kadar rendah,” katanya pada sidang media selepas program Pembekalan Kit Pembasmi Covid-19 dan Inisiatif Penjagaan Anak Frontliners (iPAF) hari ini.

Dr Siti Mariah berkata susulan peningkatan kes wabak, Kerajaan Negeri akan menggerakkan kit ujian pantas kepada kumpulan sasaran di tempat tertentu dalam usaha memutuskan rantaian pandemik.

“Jika ada pengawal keselamatan atau pekerja awam disahkan positif, kita akan lakukan saringan kepada kontak mereka.

“Kes positif akan dirujuk kepada JKNS (Jabatan Kesihatan Negeri Selangor) dan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia). Kita tak buat keputusan dasar tetapi menyokong dan membantu kerajaan” katanya.

Semalam, Selangor mencatatkan 150 kes baharu, kedua tertinggi selepas Sabah menjadikan jumlah keseluruhan 2,964 kes.