Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor tetap sasaran baharu pelaburan RM8.5 bilion tahun ini

SHAH ALAM, 15 OKT: Kerajaan Negeri menyasarkan nilai pelaburan baharu RM8.5 bilion tahun ini, sesuai dengan kesan penularan Covid-19 di peringkat global.

Sasaran asal ditetapkan pada Januari lalu ialah RM12 bilion.

Bagaimanapun, EXCO pelaburan berkata di sebalik kelembapan ekonomi, sebanyak 122 projek bernilai RM3.3 bilion diluluskan dalam tempoh setengah tahun.

“Negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Diperketatkan atau PKP Bersyarat sejak Mac dan memadai jika Selangor berjaya mencatat nilai pelaburan RM8.5 bilion.

“Kita memerlukan nilai pelaburan sekurang-kurangnya RM5 bilion lagi dan dengan usaha serta kerjasama semua pihak, kita mampu mencapainya,” kata Dato’ Teng Chang Khim pada sidang media secara maya semalam.

Selangor mencatat nilai pelaburan RM17 bilion tahun lalu dan kekal penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) selama beberapa tahun.

Pada 2018, negeri itu mencatat pelaburan RM18.7 bilion, tertinggi dalam tempoh 30 tahun.