Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

324 disaring, individu lain di Medan 88 diminta jalani ujian sama

SHAH ALAM, 16 NOV: Seramai 324 daripada 800 penduduk Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) menjalani saringan Covid-19 setakat pagi ini.

Pengerusi jawatankuasa pengurusan bencana daerah Sepang berkata penduduk diminta bertenang dan patuh arahan pihak berkuasa sebagai usaha mencegah penularan wabak.

“Kita turut memantau tahap kesihatan mental penduduk dari semasa ke semasa, cuma dalam keadaan sekarang kita minta penduduk beri kerjasama sepenuhnya.

“Selain itu penyelarasan juga dibuat dengan agensi terlibat bagi memastikan bekalan makanan cukup sepanjang tempoh PKPD,” kata Mohamad Zain A Hamid kepada SelangorKini hari ini.

Beliau berkata pihak berkuasa juga sedang mengesan individu yang bekerja di Medan 88 tersebut tetapi tinggal di luar kawasan tersebut.

PKPD di Medan 88 berkuat kuasa 11 hingga 25 November melibatkan 88 unit rumah kedai, 284 premis dan 800 penduduk.