Categories
AGENDA NASIONAL

AADK kerjasama dengan KKM depani cabaran dadah psikoaktif

KAJANG, 7 NOV: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mengakui berdepan cabaran dalam mengawal penularan penggunaan dadah kategori bahan psikoaktif baharu (NPS) dalam negara, kata Ketua Pengarahnya Datuk Seri Zulkifli Abdullah.

Beliau berkata campuran pelbagai jenis dadah sintetik itu mudah diubah struktur kimianya sehingga sebarang penemuan baru memerlukan cadangan penjadualan dalam Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Disebabkan itu, AADK bertindak mencadang sebarang penemuan dadah itu kepada Bahagian Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), yang kemudiannya mengangkat cadangan itu untuk keputusan Menteri Kesihatan sama ada dadah itu boleh disenaraikan atau tidak.

“Di peringkat antarabangsa, Persidangan Suruhanjaya Dadah Narkotik (CND) dianggotai oleh negara-negara ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, akan membincangkan sebarang penemuan dadah baru di serata dunia, termasuk daripada KKM sebelum mana-mana dadah NPS berkenaan boleh dikawal selia,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Ibu Pejabat AADK di Kajang.

Menurut Zulkifli, pihaknya peka dengan perkembangan penggunaan dadah itu dalam negara, yang memerlukan kekerapan dalam melaporkan sebarang penemuan dadah NPS.

“Jika dahulu trend dadah ni lebih kepada penggunaan dadah tradisional seperti ganja, morfin dan sebagainya, kini ia sudah beralih kepada dadah kategori NPS.

“Selain itu, kawasan pengeluaran segi tiga emas dadah di Asia Tenggara yang dulunya lebih menjurus kepada penanaman pokok popi turut dilaporkan menjadi tempat pengeluaran dadah NPS kini,” katanya.

Menurut beliau lagi, dadah kategori NPS ini jika tidak ditangani bukan sahaja memberi kemudaratan, bahkan mampu mendatangkan kerosakan kekal kepada otak bagi mana-mana penggunanya.

Zulkifli berkata disebabkan struktur kimia dadah kategori NPS berkenaan yang berubah-ubah, ia menyukarkan sebarang kemasukan ke dalam jadual sedia ada.

“Bila mana ia tiada di dalam jadual, sukar untuk pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas sebarang penyalahgunaan dadah berkenaan.

“Kami perlu mengorak langkah lebih ke hadapan untuk menangani perkara ini, bagi membantu pihak berkuasa dengan cara penglibatan aktif dalam pelbagai mesyuarat atau persidangan yang berkaitan untuk memaklumkan sebarang penemuan dadah baharu ini,” katanya.

– BERNAMA