Categories
AGENDA NASIONAL

Pengedaran dadah masih berleluasa dalam tempoh PKPB

KUALA LUMPUR, 11 NOV: Aktiviti pengedaran dadah didapati masih aktif walaupun sebahagian besar negara berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kata Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Seri Zulkifli Abdullah.

Tanpa mendedahkan jenis dadah yang banyak terdapat dalam pasaran, beliau berkata pihaknya mengesan bekalan dadah masih sampai kepada pengguna yang diedarkan secara langsung menggunakan pelbagai jenis kaedah seperti perkhidmatan kurier.

“Kita melihat ada (port) kawasan yang digunakan untuk menyampaikan dadah seperti di Petaling Jaya selatan, salah satu kawasan rintis. Mereka ambil kesempatan pada waktu PKPB kerana tidak ramai orang keluar dan menghidupkan semula tempat yang sebelum ini telah dibersihkan.

“PKPB ini juga dapat memberi ruang pada mereka ini, jadi kita harap dapat kerjasama dengan pihak polis serta agensi-agensi penguat kuasa meneliti lebih terperinci serta membuat pemeriksaan terhadap servis kurier seperti perkhidmatan menghantar barang ataupun makanan ketika Covid-19 ini,” katanya kepada pemberita selepas sesi minum petang bersama Ketua Pengarah AADK di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden Persatuan Seniman Malaysia Rozaidi Jamil atau Zed Zaidi.

Zulkifli berkata keadaan itu membimbangkan pihaknya kerana trend perniagaan yang paling maju ketika ini adalah perkhidmatan penghantaran menggunakan motosikal atau kereta kepada pelanggan yang berada di mana-mana.

“Dadah adalah satu perniagaan yang lumayan dan mereka ini tidak akan berhenti. Orang yang nak jual dadah akan sentiasa mencari pelanggan dan peluang yang baharu,” katanya.

Zulkifli berkata pelantikan selebriti menjadi ikon antidadah bertujuan untuk membantu AADK menyebarluaskan mesej kesan bahaya penyalahgunaan dadah.

“Ikon-ikon yang dilantik ini merupakan mereka yang mempunyai pengaruh besar terhadap kumpulan sasar kita iaitu remaja berumur antara 15 dan 29 tahun yang ramai terjebak dalam penyalahgunaan dadah.

“Kita percaya dengan sokongan daripada persatuan seniman bersama ikon-ikon ini, kita akan dapat menggunakan pengaruh mereka dan bersama-sama membanteras penyalahgunaan dadah melalui pelbagai saluran, termasuk di media sosial,” katanya.

Untuk itu, AADK akan mengadakan kerjasama bersama lapan artis tempatan, termasuk Kumpulan Floor 88 dan Aiman Tino.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

AADK kerjasama dengan KKM depani cabaran dadah psikoaktif

KAJANG, 7 NOV: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mengakui berdepan cabaran dalam mengawal penularan penggunaan dadah kategori bahan psikoaktif baharu (NPS) dalam negara, kata Ketua Pengarahnya Datuk Seri Zulkifli Abdullah.

Beliau berkata campuran pelbagai jenis dadah sintetik itu mudah diubah struktur kimianya sehingga sebarang penemuan baru memerlukan cadangan penjadualan dalam Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Disebabkan itu, AADK bertindak mencadang sebarang penemuan dadah itu kepada Bahagian Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), yang kemudiannya mengangkat cadangan itu untuk keputusan Menteri Kesihatan sama ada dadah itu boleh disenaraikan atau tidak.

“Di peringkat antarabangsa, Persidangan Suruhanjaya Dadah Narkotik (CND) dianggotai oleh negara-negara ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, akan membincangkan sebarang penemuan dadah baru di serata dunia, termasuk daripada KKM sebelum mana-mana dadah NPS berkenaan boleh dikawal selia,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Ibu Pejabat AADK di Kajang.

Menurut Zulkifli, pihaknya peka dengan perkembangan penggunaan dadah itu dalam negara, yang memerlukan kekerapan dalam melaporkan sebarang penemuan dadah NPS.

“Jika dahulu trend dadah ni lebih kepada penggunaan dadah tradisional seperti ganja, morfin dan sebagainya, kini ia sudah beralih kepada dadah kategori NPS.

“Selain itu, kawasan pengeluaran segi tiga emas dadah di Asia Tenggara yang dulunya lebih menjurus kepada penanaman pokok popi turut dilaporkan menjadi tempat pengeluaran dadah NPS kini,” katanya.

Menurut beliau lagi, dadah kategori NPS ini jika tidak ditangani bukan sahaja memberi kemudaratan, bahkan mampu mendatangkan kerosakan kekal kepada otak bagi mana-mana penggunanya.

Zulkifli berkata disebabkan struktur kimia dadah kategori NPS berkenaan yang berubah-ubah, ia menyukarkan sebarang kemasukan ke dalam jadual sedia ada.

“Bila mana ia tiada di dalam jadual, sukar untuk pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas sebarang penyalahgunaan dadah berkenaan.

“Kami perlu mengorak langkah lebih ke hadapan untuk menangani perkara ini, bagi membantu pihak berkuasa dengan cara penglibatan aktif dalam pelbagai mesyuarat atau persidangan yang berkaitan untuk memaklumkan sebarang penemuan dadah baharu ini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

AADK tiada halangan kajian ketum untuk tujuan perubatan

SHAH ALAM, 26 MAC: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) tidak menghalang mana-mana pihak yang berhasrat untuk membuat kajian terhadap ketum bagi tujuan perubatan, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Zulkifli Abdullah.

Beliau berkata, ketum adalah tanaman tempatan yang senang membiak tetapi telah disalah guna menjadi dadah dalam kalangan anak muda kerana dicampur dengan bahan lain seperti ubat nyamuk, air soda dan dadah lain sehingga menjadikannya bahaya.

“Di negara ini, kita belum lagi mempunyai kajian yang sebetulnya dan diterima oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tentang kebaikan ketum yang memberi faedah kepada perubatan.

“Buat masa ini, undang-undang kerajaan menanam ketum adalah satu kesalahan namun kita tidak mempunyai halangan sekiranya ada sebarang kajian yang dilakukan tetapi mestilah mengikut peraturan di bawah KKM,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Pencegahan Anti Dadah 2018 di Ideal Convention Centre (IDCC), di sini, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, yang turut hadir pada majlis itu menggesa Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) agar memperkasakan program Laluan Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa), sebagai usaha mengekang kegiatan penyalahgunaan dadah terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah.

Program PPDa yang diperkenalkan sejak 2012 bertujuan memberi pengetahuan, kesedaran dan keinsafan kepada murid, guru, kakitangan sekolah serta ibu bapa agar mereka menjauhi serta menentang ancaman dadah selain menjadikan sekolah bebas dadah.

“Kerjasama dengan semua agensi kerajaan seperti AADK, PDRM, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat turut akan diperkemaskan agar ancaman masalah dadah khususnya kepada pelajar sekolah dapat dikawal bermula di sekolah rendah,” kata Teo.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

AADK, PDRM kekang kemasukan bekalan dadah di kawasan berisiko tinggi

KUALA LUMPUR, 13 FEB: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia akan mempertingkatkan usaha menyekat kemasukan bekalan dadah di kawasan berisiko tinggi seperti penempatan Felda dan Program Perumahan Rakyat.

Tanpa mendedahkan strategi yang akan dilaksanakan, Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, pihaknya mengenal pasti kemasukan dadah jenis pil kuda dan syabu ke kawasan itu adalah kerana harganya lebih murah.

“Kita (AADK) akan tentukan bekalan dadah dapat disekat atau diminimumkan, kalau boleh banteras sepenuhnya ia lebih baik.

“Ini bagi menghalang penagih mendapat bekalan selain bekas penagih kembali menggunakan dadah sekiranya kembali ke kawasan berisiko tinggi ini,” katanya kepada BERNAMA selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel di sini, malam tadi.

Beliau berkata, untuk tahun ini, penagih yang telah pulih tidak akan dihantar ke kampung halaman masing-masing sebaliknya akan ditempatkan di kawasan lain.

“Ini bagi mengelak stigma negatif masyarakat terhadap bekas penagih, kami akan hantar mereka ke kawasan baharu.

“Di lokasi baharu, orang ramai tidak kenal mereka dan mereka boleh mulakan kehidupan baharu,” katanya.

Sementara itu, Zulkifli berkata, pihaknya mengesyorkan ibu bapa yang anaknya terlibat dengan penyalahgunaan dadah untuk mendapatkan khidmat kaunseling.

“Melalui khidmat kaunseling mereka dapat membimbing serta memberi bantuan kepada anak mereka atau masyarakat setempat,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

AADK: Kempen perangi dadah tunjuk hasil positif

ROMPIN, 10 FEB: Pelaksanaan kempen perangi dadah habis-habisan yang masuk tahun ketiga pada tahun ini, menunjukkan perkembangan positif berdasarkan pengurangan zon berisiko tinggi di seluruh negara.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, pada masa ini, hanya 87 kawasan masih dikategorikan sebagai zon merah berbanding 178 kawasan sebelum ini.

Manakala, katanya, lima kawasan sudah dikategorikan sebagai hijau iaitu kawasan paling kurang masalah dadah, manakala 86 kawasan lagi bertukar kepada zon kuning (kes dadah sehingga 30 peratus).

“Mengikut rekod, Pahang mempunyai kawasan berisiko tinggi paling banyak iaitu 115 buah di seluruh kawasan Felda membabitkan 4,923 kes Orang Kena Pengawasan (OKP).

“OKP kawasan Felda di Rompin pula sebanyak 14.04 peratus atau 197 OKP meliputi 17 kawasan di Felda Selancar, Selendang dan Keratong,” katanya semasa berucap di Majlis Sambutan Bulan Antidadah Kebangsaan 2019 di Dewan Semai Bakti, Felda Keratong 3 di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Besar (Pembangunan Komuniti) Felda, Anuar Malek dan Pengarah AADK Pahang, Rujhan Ramli.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, kerjasama strategik di antara Felda dan AADK yang berterusan dilihat mampu mencapai matlamat membebaskan negara dari belenggu dadah khususnya di tanah rancangan.

“Selaras dengan tema ‘Felda Kita Tanggungjawab Kita’, AADK tampil dengan inisiatif untuk melaksanakan aktiviti berfokus seperti program Omnipresence, iaitu menggerakkan pemuda dan belia menyebarkan risalah berkaitan.

“Hasrat mencapai status Felda bebas dadah mungkin agak sukar namun tidak mustahil jika program yang lebih bersasar ini lebih melekat di hati masyarakat terutamanya kepada generasi muda,” katanya.

Sementara itu, Anuar berkata, pelbagai cara yang dilakukan bagi meningkatkan kesedaran kepada warga Felda pelbagai peringkat umur mengenai bahaya dadah, antaranya menerusi pameran, ceramah dan kem motivasi.

“Penyalahgunaan dadah mudah berkembang melalui pengaruh di kawasan berkelompok sekali gus memudahkan urus niaga jual beli dadah, penggunaan jarum suntikan dan sebagainya.

“Pada masa kini juga, terdapat ramai pelajar peringkat sekolah mahupun pusat pengajian tinggi menggunakan amphetamine tanpa diketahui oleh ibu bapa yang kononnya untuk merangsang sistem saraf agar menjadi lebih bertenaga,” katanya.

SUMBER: BERNAMA