Categories
ADN SELANGOR

ADN: Serah bantuan makanan untuk mangsa banjir Hulu Langat

HULU LANGAT, 29 NOV: Seramai 1,200 penduduk daerah ini yang terjejas susulan banjir pada awal November menerima bakul makanan, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua.

Edry Faizal Eddy Yusof berkata bantuan meliputi beras, minyak masak, mi segera, sardin dan biskut disumbangkan sukarelawan Team Selangor.

“Daripada 1,200 penerima layak, kita sudah beri awal kepada 500 orang pada awal bulan dan baki bantuan diagihkan hari ini.

“Pejabat wakil rakyat memantau keadaan penduduk terjejas dari semasa ke semasa. Insya-Allah kita akan pertimbang bantuan mengikut keperluan,” katanya selepas menyampaikan sumbangan Bakul Makanan kepada mangsa banjir di Dewan Serbaguna Taman Sri Nanding hari ini.

Pada 4 November, lebih 500 rumah di di Hulu Langat dilanda banjir susulan hujan lebat hampir lima jam.

Antara kawasan terjejas adalah Kampung Batu 20 Sungai Lui, Kampung Batu 14, Kampung Batu 16, Kampung Kuala Perdik, Kampung Batu 18, Kampung Batu 17, Kampung Sungai Serai, Kampung Dusun Nanding, Kampung Baru 13, Kampung Lubuk Kelubi dan Taman Sri Nanding.