Categories
ADN SELANGOR

ADN: Serah bantuan makanan untuk mangsa banjir Hulu Langat

HULU LANGAT, 29 NOV: Seramai 1,200 penduduk daerah ini yang terjejas susulan banjir pada awal November menerima bakul makanan, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua.

Edry Faizal Eddy Yusof berkata bantuan meliputi beras, minyak masak, mi segera, sardin dan biskut disumbangkan sukarelawan Team Selangor.

“Daripada 1,200 penerima layak, kita sudah beri awal kepada 500 orang pada awal bulan dan baki bantuan diagihkan hari ini.

“Pejabat wakil rakyat memantau keadaan penduduk terjejas dari semasa ke semasa. Insya-Allah kita akan pertimbang bantuan mengikut keperluan,” katanya selepas menyampaikan sumbangan Bakul Makanan kepada mangsa banjir di Dewan Serbaguna Taman Sri Nanding hari ini.

Pada 4 November, lebih 500 rumah di di Hulu Langat dilanda banjir susulan hujan lebat hampir lima jam.

Antara kawasan terjejas adalah Kampung Batu 20 Sungai Lui, Kampung Batu 14, Kampung Batu 16, Kampung Kuala Perdik, Kampung Batu 18, Kampung Batu 17, Kampung Sungai Serai, Kampung Dusun Nanding, Kampung Baru 13, Kampung Lubuk Kelubi dan Taman Sri Nanding.

Categories
ADN SELANGOR

Terus ulang siar di media sosial larangan merokok, minum arak

SHAH ALAM, 11 OGOS: Kerajaan atau pihak berkaitan disaran membuat kempen atau ulang siar di semua platform media sosial berhubung kompaun ke atas individu yang menghisap rokok dan meminum arak di tempat awam.

Ahli dewan negeri (ADN) Dusun Tua mencadangkan ia sebagai peringatan kepada si pelaku agar tidak melakukan kesalahan sama berulang kali dan menghormati ketenteraman awam.

“Kerajaan perlu terus ulang siar larangan merokok dan meminum arak di tempat awam menerusi semua platform media sosial bagi memberi kesedaran kepada masyarakat, sehingga mereka yang mahu buat perkara itu berasa janggal,” kata Edry Faizal Eddy Yusof kepada SelangorKini.

Sementara itu, orang awam, Rashidah Ismail berkata beliau memuji inisiatif Kerajaan Selangor mewujudkan syarat itu sekali gus dapat mencerminkan negeri bersifat sifar pencemaran.

“Larangan ini boleh menghasilkan bandar yang nyaman tanpa udara kotor ekoran asap rokok. Malah, saya harap perokok dan mereka yang gemar meminum arak dapat hormati privasi orang sekeliling ketika berada di tempat awam,” katanya.

Pada 14 Julai lalu, Selangor muncul negeri pertama di Malaysia menguatkuasakan perintah arahan larangan menghisap rokok, rokok elektronik dan meminum minuman keras di taman permainan serta rekreasi.

Jika didapati terdapat individu melakukan kesalahan mereka boleh dikenakan kompaun sehingga RM1,000 mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Taman 2005 Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor.

Categories
ADN SELANGOR

ADN Dusun Tua cadang anjur bazar Ramadan dalam talian

SHAH ALAM, 2 APRIL: Idea memperkenalkan konsep bazar Ramadan dalam talian boleh membantu peniaga meraih pendapatan tanpa bimbang terhadap jangkitan Covid-19.

Perkara itu dicadangkan Ahli Dewan Negeri Dusun Tua Edry Faizal Eddy Yusof selepas Kerajaan Negeri membatalkan penganjuran bazar berkenaan, tahun ini.

“Usaha baharu seperti ‘Selangor Advance’ dan Inisiatif Digital Selangor Grab bukan sahaja memacu ekonomi negeri melalui digitalisasi, namun turut menjaga kegiatan ekonomi sedia ada.

“Justeru, idea bazar digital dapat memastikan peluang perniagaan ketika Ramadan diteruskan selain mempersiapkan negeri ke arah itu selepas Malaysia berjaya keluar daripada cabaran wabak ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0 memperuntukkan RM100.7 juta bagi memacu ekonomi negeri melalui digitalisasi dengan mencipta peluang baharu dan menjaga pekerjaan sedia ada.