Categories
AGENSI SELANGOR

Bayu: Unisel jangka pelajar bertambah, mantapkan program biaya

SHAH ALAM, 2 NOV: Universiti Selangor (Unisel) dijangka menerima lebih ramai pelajar baharu bagi mengikuti pengajian asas berikutan pengumuman inisiatif Bantuan Yuran Asas Universiti (Bayu) dalam Belanjawan Selangor 2021.

Presiden dan naib canselornya berkata inisiatif ini juga akan memantapkan program pembiayaan diperkenalkan universiti sejak tiga tahun melibatkan 10 pelajar di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kita menyambut baik pengumuman mengenai Bayu yang akan memberikan lebih insentif kerana sebelum ini Unisel memberikan subsidi kepada pelajar mengikuti pengajian tahun asas. Malah untuk kemasukan bagi sesi Ogos-November kita juga memberikan yuran pengajian penuh satu semester.

“Walaupun program kita bergantung kepada kedudukan kewangan sedia ada tetapi dengan adanya Bayu akan memantapkan lagi program tersebut dan saya lihat akan mempengaruhi pertambahan jumlah pelajar ke Unisel,” kata Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman ketika dihubungi.

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM4 juta dalam inisiatif Bayu bagi menarik minat pelajar melanjutkan pelajaran di semua univeristi milik Selangor serta meringankan beban ibu bapa kesan pandemik Covid-19.

Mengenai peruntukan RM35 juta secara pinjaman untuk meningkatkan hasil institusi pengajian, Dr Mohammad Redzuan menjelaskan ia akan dimanfaatkan untuk kerja membaik pulih kerosakan bagi memastikan Unisel lebih berdaya saing serta mencerminkan wajah Selangor sebagai negeri maju.