Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Malaysia runding dengan 10 syarikat vaksin untuk bekalan

PUTRAJAYA, 27 NOV: Kerajaan sedang berunding secara aktif dengan 10 daripada 12 syarikat pengeluar vaksin Covid-19 yang vaksin mereka berada pada fasa ketiga ujian klinikal, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata kerajaan melalui Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin akan menilai semua vaksin itu termasuk daripada syarikat Pfizer bagi memastikan ia dijamin selamat untuk digunakan.

“Pada masa ini ada 12 pengeluar vaksin yang vaksin mereka sedang dalam fasa ketiga ujian dan Kerajaan Malaysia sedang berunding secara aktif dengan 10 daripada mereka.

“Kerajaan akan membuat pembelian vaksin Covid-19 daripada pelbagai sumber bagi memastikan cukup vaksin untuk keperluan negara. Saya diberitahu kita memerlukan bekalan vaksin sekurang-kurangnya untuk 60 peratus rakyat Malaysia, bermakna 18 ke 19 juta orang akan dapat diimunkan buat permulaan,” katanya pada sidang media secara maya di sini hari ini.

Dalam pada itu, katanya, tiada halangan bagi pihak fasiliti perubatan swasta untuk mendapatkan vaksin daripada syarikat yang diluluskan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sendiri boleh membekal kepada pihak swasta jika terdapat lebihan vaksin itu.

Muhyiddin berkata kerajaan juga menggalakkan syarikat pengeluar vaksin untuk membina kilang di negara ini termasuk bagi proses pembotolan vaksin.

Insentif menarik dan istimewa daripada biasa akan diberikan kepada syarikat luar yang mahu melabur bagi tujuan berkenaan, katanya.

Menyedari tentang kepentingan memerangi pandemik Covid-19, beliau berkata Malaysia juga sedia menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak bagi menjadi pengeluar vaksin itu pada masa depan.

“Kita tidak ada masalah untuk bekerjasama di peringkat awal jika ada syarikat dari luar sana seperti China yang berminat untuk mencari rakan kongsi bersama untuk jalankan penyelidikan dan pembangunan, itu kita galakkan.

Memang ada beberapa insentif dan kita berharap satu hari nanti kita akan jadi pengeluar bukan sahaja pengguna kepada bahan perubatan,” katanya.

– BERNAMA