Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Dari Kaca Mata MB: Menampan kesan kelembapan ekonomi

Kenyataan media oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari selepas pembentangan Belanjawan Selangor 2021 pada 30 Oktober 2020

Belanjawan Selangor 2021 telah selesai dibentangkan kepada Ahli-ahli Dewan Negeri Selangor pada 30 Oktober. Bertemakan “Melakar Realiti Baharu: Memperkasa Ekonomi Bermaruah Paksi Kecekalan Rakyat” belanjawan kali ini memperuntukkan RM2.323 bilion bagi perbelanjaan 2021 yang mampu mencipta 15,000 peluang pekerjaan bagi rakyat Selangor, terutamanya mereka yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan ekoran pandemik Covid-19.

Belanjawan tersebut memfokuskan kepada lima strategi iaitu:

– Agenda Digitalisasi Selangor, Pemangkin Negeri Pintar Ulung
– Selangor Sentosa, Ummah Sejahtera
– Memacu Penciptaan Nilai dan Pembangunan Modal Insan
– Memperkasa Kemampanan Alam Sekitar, Sumber dan Rantaian Bekalan Makanan
– Merancakkan Pemulihan Ekonomi dan Pembangunan Industri

Dato’ Seri Amirudin Shari ketika pembentangan Belanjawan Selangor 2021 di Dewan Negeri Selangor pada 30 Oktober 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

RM1.103 bilion atau 47 peratus peruntukan keseluruhan akan digunakan untuk perbelanjaan pembangunan selaras hasrat membimbing kecekalan rakyat dalam melalui fasa-fasa berbeza wabak Covid-19 yang belum lagi kelihatan penghujungnya.

Bagi menjayakan agenda Negeri Pintar Ulung serta Agenda Digitalisasi Selangor, sebanyak RM369 juta diperuntukkan untuk mewujudkan program baharu seperti Dana Inovasi Selangor bagi membantu pengusaha pemula dan memposisikan Selangor sebagai pelabur peringkat awal (early stage investor), Smartbox Pejabat Tanah Galian (PTG) untuk memudah cara urusan tanah, Rakan Digital Selangor sebagai dorongan dan pendidikan awam serta kelangsungan program-program sedia ada seperti e-Dapur 2.0 dan e-Sukan.

Tingkat perkhidmatan internet

Inisiatif Data Internet Selangor turut diperkenalkan dengan peruntukan RM17.5 juta untuk membantu pelajar serta golongan yang memerlukan perkhidmatan internet pada harga lebih berpatutan.

Bagi menggalakkan lebih ramai rakyat Selangor menceburi bidang keusahawanan, satu inisiatif khas yang diberi nama Niaga Darul Ehsan (NaDi) akan memberi pinjaman serendah RM1,000 untuk membantu rakyat Selangor memulakan perniagaan kecil. Inisiatif Selangor e-Pembekalan Peruncit Mikro turut diwujudkan bagi membantu peruncit mikro dan kecil di seluruh negeri.

Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM56.5 juta untuk memperkasa sektor kesihatan awam, lebih-lebih lagi pada saat pandemik semakin menjadi-jadi. Jumlah ini 23 peratus lebih tinggi berbanding peruntukan kesihatan dalam belanjawan lalu iaitu RM46 juta.

Salah seorang penerima bantuan Kasih Ibu Smart Selangor (Kiss). Foto ARKIB SELANGORKINI

Kerajaan Negeri telah menambah baik program Kasih Ibu Smart Selangor (Kiss) dengan peruntukan RM62 juta melalui pemberian manfaat sebanyak RM200 sebulan dengan penambahan 5,000 orang penerima dari golongan ibu tunggal (Kiss Ibu Tunggal) dari seluruh Selangor.

Bagi menyantuni warga emas, Kerajaan Negeri menyediakan RM27.5 juta untuk Skim Mesra Usia Emas (SMUE) 2.0 yang memberi bantuan khairat kematian bernilai RM500 kepada waris berdaftar dengan Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) sambil meneruskan program Jom Shopping SMUE.

Menyedari demografi rakyat Selangor yang melihat peningkatan golongan berumur, Kerajaan Negeri melalui anak syarikatnya Selgate Corporation Sdn Bhd bersiap sedia untuk menawarkan inisiatif penjagaan warga emas dan kanak-kanak melalui suatu kediaman komuniti bersepadu khusus yang selesa. Ini dilengkapi prasarana kesihatan serta akses mudah untuk penjagaan dan pemantauan sekeluarga.

Golongan orang kelainan upaya (OKU) sentiasa menjadi perhatian utama Kerajaan Negeri dan akan diberi peruntukan sejumlah RM3.25 juta bagi keseluruhan program dan inisiatif pemberdayaan OKU seperti pembelian alatan sokongan, ubat-ubatan dan zat makanan tambahan; terapi pemulihan anak-anak istimewa; kursus latihan asuhan serta seminar kesedaran sokongan untuk anak istimewa.

Kakitangan MBPJ mengagihkan sumbangan makanan asas kepada penduduk melalui program PJ City Food Bank. Foto MBPJ

Inisiatif Bank Makanan Selangor akan diperluaskan untuk merangkumi program Bank Makanan Kanak-Kanak yang menyasarkan golongan kanak-kanak bawah umur enam tahun khusus untuk keluarga berpendapatan rendah bagi menangani masalah pertumbuhan terbantut dan ketidakseimbangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak, dengan peruntukan RM6 juta.

Sebagai sebuah kerajaan peduli rakyat yang memantapkan institusi Islam, Kerajaan Negeri bersetuju menyediakan peruntukan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjumlah RM1.1 juta sebagai caruman majikan bagi memberi manfaat kepada 4,200 guru Kelas Asas Fardhu Ain (Kafa) seluruh Selangor.

Kerajaan Negeri turut mengumumkan inisiatif Bantuan Pengusaha dan Guru-Guru Tadika berjumlah RM2 juta untuk tahun 2021 agar kos tambahan bagi pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) pandemik tidak menjejaskan operasi harian mereka.

RM200 juta atasi pencemaran

Untuk membendung masalah pencemaran air berulang, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM200 juta untuk pelbagai usaha seperti Skuad Pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) yang akan membuat rondaan 24 jam, penggunaan teknologi dron serta penambahan jumlah keanggotaan LUAS, Projek Perintis Rawatan Biologikal/BioRemediation untuk memulihkan kualiti air di Sungai Gong, serta penaiktarafan kolam takungan Sistem Peningkatan Hibrid Pinggir Sungai 600 (Horas 600).

Sebagai sebahagian usaha meremajakan urban (urban rejuvenation)bagi pembangunan semula kawasan perkarangan stadium Seksyen 13 Shah Alam, Kerajaan Negeri berhasrat untuk membangunkan Bandar Belia dan Sukan dengan nilai anggaran kasar (GDV) sebanyak RM8 bilion yang akan didirikan secara awam (public) – persendirian (private) – perkongsian (partnership).

Kolam takungan Sistem Peningkatan Hibrid Pinggir Sungai 600 (Horas 600)

Bagi merungkai isu perumahan mampu milik yang sering kali menjadi perhatian rakyat, Kerajaan Negeri menyasarkan pertambahan sekurang-kurangnya 30,000 unit Rumah Selangorku di bawah Program Rumah Selangorku Idaman dan Rumah Selangorku Harapan dengan nilai hartanah lebih RM750 juta yang bakal disiapkan menjelang 2023.

Memandangkan mahasiswa merupakan golongan yang paling terkesan saat ini, Kerajaan Negeri mengumumkan program Bantuan Yuran Asas Universiti (Bayu) iaitu pelepasan bagi yuran asas khusus buat pelajar-pelajar Unisel dan Kuis pada 2021 dengan peruntukan sebanyak
RM4 juta.

Bagi mendepani isu kesukaran mahasiswa mendapat tempat dalam pasaran kerja serta kehilangan pekerjaan yang dihadapi pekerja sedia ada, Kerajaan Negeri berusaha untuk mengurangkan pengangguran sekali gus cuba membasmi kemiskinan dengan beberapa inisiatif seperti Selangor Kerjaya dengan latihan kemahiran baharu (new skill), tingkat kemahiran (upskilling) dan pulih kemahiran (reskilling); Selangor Automotif TVET yang memadankan graduan TVET teknologi automotif dan bengkel automotif; serta Selangor Freelancers kerana semakin ramai yang memilih waktu kerja lebih anjal bagi memenuhi keperluan ekonomi mereka. RM76 juta diperuntukkan dari Pemerbadanan Menteri Besar dan Permodalan Negeri Selangor Berhad bagi membiayai inisiatif-inisiaitf ini.

Belanjawan Selangor 2021 diharap dapat membantu rakyat bagi mendepani realiti baharu dalam pasaran dunia pasca Covid-19. Harapan dan semangat optimisme yang diangkat melalui dokumen ini sewajarnya mampu menawarkan jalan keluar bagi menampan kesan kelembapan ekonomi dan dijangka mampu membina kecekalan rakyat dalam melalui hari-hari mendatang.