Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 1,000 kes, 28 kilang Top Glove diarah tutup berperingkat

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan mengarahkan 28 kilang Top Glove di Kapar, Klang ditutup secara berperingkat susulan peningkatan ketara kes Covid-19, kata menteri kanan (keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau difahamkan hari ini sebanyak 1,067 kes positif dilaporkan di kawasan tersebut.

“Penutupan ini bagi membolehkan pekerja menjalani saringan dan kuarantin bagi mengekang penularan Covid-19.

“Pelaksanaan ini akan diselaraskan oleh Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Selangor dengan kerjasama pengurusan syarikat Top Glove,” katanya pada sidang media hari ini.

Ismail Sabri berkata arahan itu dibuat selepas mendapat nasihat dan penilaian risiko jangkitan Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pada 16 November, kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di asrama pekerja Top Glove Klang selepas KKM mengesan 215 kes positif Covid-19.

Susulan itu, seramai 5,700 pekerja serta 1,200 penduduk sekitar dikenakan PKPD 14 hari dan perlu menjalani saringan.