Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: 110 keluarga mangsa banjir Hulu Langat dibantu, kebajikan dijaga

HULU LANGAT, 4 NOV: Kerajaan Negeri akan menyalurkan bantuan RM500 kepada 110 keluarga mangsa yang terjejas banjir di Hulu Langat dalam masa terdekat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan segera itu sebagai meringankan beban mangsa sekali gus memastikan kebajikan mereka terjaga.

“Kita (Kerajaan Negeri) akan melihat sokongan bantuan RM500 seperti tertakluk dalam peraturan atau urus tadbir bencana di peringkat negeri.

“Namun buat masa ini, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan tujuh badan bukan kerajaan (NGO) turut datang memberi bantuan sementara seperti pelitup muka, cecair pembasmi kuman, sabun serta beberapa perkakas lain,” katanya.

Dato’ Seri Amirudin Shari bertanyakan keadaan mangsa banjir Azizah Kanna, 66, (kiri) dan dua orang lagi rakannya ketika lawatan beliau ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sungai Serai, Kajang pada 4 November 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai, Hulu Langat yang dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Amirudin berkata seramai 60 keluarga ditempatkan di sekolah berkenaan manakala 50 keluarga lagi berada di Kompleks Penghulu Batu 10 sejak pagi tadi.

Menurutnya, kesemua mangsa terbabit hanya dibenarkan pulang ke rumah jika keadaan pulih sepenuhnya bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.

“Berdasarkan keadaan semasa kemungkinan ia (air surut) akan mengambil masa sekitar 12 hingga 24 jam dan selepas itu mereka dibenarkan pulang ke rumah.

“Kita juga mahu memastikan agar penduduk di PPS dijaga rapi terutama dengan situasi semasa penularan Covid-19 supaya tidak menjadi pusat jangkitan,” katanya.

Hujan lebat berterusan hampir lima jam sejak jam 2 pagi tadi menyebabkan tujuh kampung di mukim Hulu Langat dilanda banjir kilat.

Lokasi terjejas ialah Kampung Batu 20 Sungai Lui, Kampung Batu 14, Kampung Batu 16, Kampung Kuala Perdik, Kampung Batu 18, Kampung Batu 17 dan Kampung Sungai Serai.